Saturday, June 20, 2009

INDAHNYA BERBAIK SANGKA

"Hubungan yang baik antara satu dengan lain dan khususnya antara muslim yang satu dengan muslim lainnya merupakan sesuatu yang harus dijalin dengan sebaik-baiknya. Ini kerana Allah telah menggariskan bahawa mukmin itu bersaudara." Itulah sebabnya, segala bentuk sikap dan sifat yang akan memperkukuh dan memantapkan persaudaraan harus ditumbuhkan dan dipelihara, sedangkan segala bentuk sikap dan sifat yang dapat merosak ukhuwah harus dihilangkan. Agar hubungan ukhuwah islamiyah itu tetap terjalin dengan baik, salah satu sifat positif yang harus dipenuhi adalah husnuzh zhan (berbaik sangka).

Oleh kerana itu, apabila kita mendapatkan informasi negatif tentang sesuatu yang terkait dengan peribadi seseorang apalagi seorang muslim, maka kita harus melakukan tabayyun (penyelidikan) terlebih dahulu sebelum mempercayainya apalagi meresponnya secara negatif, Allah berfirman yang ertinya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." Q.S Al-Hujuraat : 6


Manfaat Berbaik Sangka

Ada banyak nilai dan manfaat yang diperolehi seseorang muslim bila dia memiliki sifat husnuzh zhan kepada orang lain.

Pertama, hubungan persahabatan dan persaudaraan menjadi lebih baik, perkara ini kerana berbaik sangka dalam hubungan sesama muslim akan menghindari terjadinya keretakan hubungan. Bahkan keharmonian hubungan akan semakin terasa kerana tidak ada halangan psikologis yang menghambat hubungan itu.

Kedua, terhindar dari penyesalan dalam hubungan dengan sesama kerana buruk sangka akan membuat seseorang menimpakan keburukan kepada orang lain tanpa bukti yang benar, Allah berfirman sebagaimana yang disebutkan pada Surah Al-Hujuraat Ayat 6 di atas.

Ketiga, selalu berbahagia atas segala kemajuan yang dicapai orang lain, meskipun kita sendiri belum dapat mencapainya, perkara ini memiliki erti yang sangat penting, kerana dengan demikian jiwa kita menjadi tenang dan terhindar dari iri hati yang boleh berkembang pada dosa-dosa baru sebagai kelanjutannya. Ini bererti kebaikan dan kejujuran akan membawa kita pada kebaikan yang banyak dan dosa serta keburukan akan membawa kita pada dosa-dosa berikutnya yang lebih besar lagi dengan dampak negatif yang semakin banyak.


Ruginya Berburuk Sangka

Manakala kita melakukan atau memiliki sifat berburuk sangka, ada sejumlah kerugian yang akan kita perolehi, baik dalam kehidupan di dunia mahupun di akhirat.

Pertama, mendapat dosa. Berburuk sangka merupakan sesuatu yang jelas-jelas bernilai dosa, kerana disamping kita sudah menganggap orang lain tidak baik tanpa dasar yang jelas, berusaha menyelidiki atau mencari-cari keburukan orang lain, juga akan membuat kita melakukan dan mengungkapkan segala sesuatu yang buruk tentang orang lain yang kita berburuk sangka kepadanya, Allah berfirman yang ertinya :
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani."
Q.S Al-Hujuraat : 12

Kedua, dusta yang besar. Berburuk sangka akan membuat kita menjadi rugi, kerana apa yang kita kemukakan merupakan suatu dusta yang sebesar-besarnya, perkara ini disabdakan oleh Rasulullah : "Jauhilah prasangka itu, sebab prasangka itu pembicaraan yang paling dusta" HR. Muttafaqun alaihi

Ketiga, menimbulkan sifat buruk. Berburuk sangka kepada orang lain tidak hanya berakibat pada penilaian dosa dan dusta yang besar, tetapi juga akan mengakibatkan munculnya sifat-sifat buruk lainnya yang sangat berbahaya, baik dalam perkembangan peribadi mahupun hubungannya dengan orang lain, sifat-sifat itu antara lain ghibah, kebencian, hasad, menjauhi hubungan dengan orang lain dll. Dalam satu hadith, Rasulullah bersabda :
"Hendaklah kamu selalu benar. Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebajikan dan kebajikan membawa ke syurga. Selama seseorang benar dan selalu memilih kebenaran dia tercatat di sisi Allah seorang yang benar (jujur). Berhati-hatilah terhadap dusta, sesungguhnya dusta membawa kepada kejahatan dan kejahatan membawa kepada neraka. Selama seseorang dusta dan selalu memilih dusta dia tercatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta. "HR. Bukhari


Larangan Berburuk Sangka

Kerana berburuk sangka merupakan sesuatu yang sangat tercela dan mengakibatkan kerugian, maka perbuatan ini sangat dilarang di dalam Islam sebagaimana yang sudah disebutkan pada Surah Al-Hujuraat Ayat 12 di atas. Untuk menjauhi perasaan berburuk sangka, maka masing-masing kita harus menyedari betapa hal ini sangat tidak baik dan tidak benar dalam hubungan persaudaraan, apalagi dengan sesama muslim dan aktivis dakwah. Disamping itu, bila ada benih- benih di dalam hati perasaan berburuk sangka, maka perkara itu harus segera dicegah dan dijauhi kerana ia berasal dari godaan syaitan yang bermaksud buruk kepada kita. Dan yang lebih penting lagi adalah memperkukuh terus jalinan persaudaraan antara sesama muslim dan aktivis dakwah agar yang selalu kita kembangkan adalah berbaik sangka, bukan malah berburuk sangka.

Oleh kerana itu, Khalifah Umar bin Khattab menyatakan: Janganlah kamu menyangka dengan satu kata pun yang keluar dari seorang saudaramu yang mukmin kecuali dengan kebaikan yang engkau dapatkan bahawa kata-kata itu mengandungi kebaikan.
Demikian perkara-perkara dasar yang harus mendapat perhatian kita dalam kaitan dengan sikap husnuzhzhan (berbaik sangka).

"Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku dan luaskanlah kefahamanku. Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku".

"Seandainya engkau menyampaikan keburukan saudaramu, Jika itu benar, maka bererti kamu sudah membuka aib saudaramu, dan jika itu salah, maka engkau sudah melakukan fitnah "

Mazmumah Menghapus Bahagia Hati

Antara mazmummah utama yang menghilangkan bahagia di hati ialah

1. Pemarah - paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak terang. (sapa nak dekat kalau asyik nak marah aje bawak2lah senyum.. tentu org tak takut nak dekat)

2. Pendendam - tersembunyi iaitu ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam walaupun secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu. Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung. ( dendam kesumat)

3. Hasad dengki - amalanya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ia memiliki sifat ketuhanan. (tak elok dengki mendengki)

4. Bakhil - sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dll. dari dirinya. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan ia tiada duit. (rezeki yang diberi oleh Allah elok dikongsi bersama..-derma)

Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui makhluk.

5. Tamak - orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut, walau berapa banyak yg diminum tetap tak habis juga. ( lagipun org tamak selalu rugi.. cam pantun zmn sekolah, dlm semak ada duri, ayam kuning buat sarang, org tamak selalu rugi, cam anjing ngan bayang-bayang)

Ingat ! yang dikatakan harta atau rezeki kita bila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita. (mungkin ada hak orang lain di situ) Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.

6. Tidak sabar - andainya perkara yang kecil pun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar. (oleh itu banyak2kanlah bersabar bila hadapi dugaan.. contohnya banyak kerja.. tetap maintain vogue walau keja bertimbun atas meja)

7. Ego - ibu segala mazmummah jadi ia membuatkan seseorang paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin.

8. Riak - terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakon di depan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, ia akan mengurangkan amalnya. Allah marah kalau kita riak.. takabbur dgn apa yg kita ada(harta, ilmu amal dll)

9. Cinta dunia - tidak dapat menderita, dapat pun menderita kerana bila sudah dapat susah pula menjaganya. Berhartalah tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu. dan biler mati cuma bawa amalan dan doa anak yg soleh/solehah

Cinta dunia merupakan "neraka dunia" kerana dunia itu "panas" akibat ia merupakan barang buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati.

Samada bermujahadah atau biarkan saja mazmummah itu, kedua-duanya tetap menderita tetapi andainya bermujahadah kita akan dibantu Allah dan akan bahagia jua akhirnya.

Sifat Pemaaf Bersih Hati,Tenangkan Jiwa

KETIKA manusia diciptakan, Allah mencipta juga pelbagai bentuk emosi dan keinginan dalam diri manusia yang berbentuk positif dan negatif yang saling mempengaruhi antara satu sama lain. Antara sifat positif yang terdapat dalam diri manusia ialah pemaaf, yakni lawan kepada sifat pemarah dan pendendam.

Pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat itu yang juga disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah.

Allah berfirman bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran, ayat 132).

Namun, diakui bukan mudah untuk menjadi seorang pemaaf. Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf dalam seseorang. Pertembungan dua unsur ini mewujudkan satu mekanisme yang saling ingin menguasai diri seseorang.

Iman dan takwa menjadi pengemudi melahirkan sifat pemaaf, manakala syaitan pula mengambil tempat mendidik sifat pemarah. Hakikatnya, syaitan sentiasa menggunakan kelemahan manusia untuk digoda dari pelbagai penjuru agar timbul sifat haiwaniah dalam diri manusia.

Memang tepat sifat pemaaf itu bukanlah satu perbuatan mudah dilakukan. Firman Allah yang bermaksud: “Tetapi, sesiapa yang sabar dan suka memaafkan, sesungguhnya termasuk pekerjaan yang berat ditanggung.” (Surah asy-Syura, ayat 43).

Sifat pemaaf memang sukar dilakukan memandangkan manusia sentiasa dikuasai fikiran logik untuk bertindak atas sesuatu perkara sehingga membunuh nilai moral sebenar.

Contohnya, bayangkan apakah tindakan spontan kita jika ditipu, dihina, dikhianati, dikecewakan dan perkara lain yang tidak disenangi. Sudah tentu perasaan marah akan menguasai diri dan diikuti pula dengan tindakan berbentuk lisan dan fizikal.

Kadangkala, perasaan marah juga disebabkan persaingan untuk mendapatkan sesuatu. Dalam keadaan itu, pesaing dianggap sebagai musuh yang perlu diatasi dengan apa cara sekalipun. Punca ini boleh merebak kepada fitnah, ugutan dan tindakan fizikal secara kekerasan.

Emosi manusia mudah terpengaruh ke arah melakukan tindakan yang pada pandangan logik adalah tindakan yang sepatutnya. Apatah lagi jika hasutan syaitan berjaya menguasai diri.

Di sinilah pentingnya kita memupuk sifat pemaaf dalam diri. Sesuatu yang logik tidak semestinya betul. Sebaliknya, ajaran agama adalah petunjuk kepada kebenaran yang mesti diamalkan untuk mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.

Tindakan marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan menyelesai masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar. Ketika itu jika diteruskan niat melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang mendatangkan keburukan sehingga melakukan pembunuhan.

Sesiapa berupaya menahan kemarahan, bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah.

Nabi Muhammad bersabda: “Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat Bukhari).

Pentingnya sifat menahan marah mendorong Nabi Muhammad apabila diminta oleh seorang lelaki agar berpesan atau mengajarnya mengenai sesuatu perkara, menjawab ringkas iaitu ‘jangan marah’.

Lelaki itu seperti tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Dia mungkin merasakan apalah besar sangat kebaikan menahan marah. Lalu dia bertanya kali kedua mengharapkan agar Rasulullah memberitahu amalan lain yang lebih besar pahalanya. Tetapi Rasulullah tetap mengulangi perkataan ‘jangan marah’.

Untuk mendidik sifat baik dalam diri perlulah menghampiri diri dengan memperbanyakkan melakukan ibadat wajib dan sunat. Dengan kekuatan takwa dan iman secara langsung akan menjauhkan perkara yang ditegah, termasuk sifat pemarah.

Sifat pemaaf lahir dari jiwa dan hati yang tenang hasil daripada tarbiyah yang berterusan. Sebab itu, selalu memupuk sifat pemaaf. Bermulalah dengan perkara yang kecil dan mudah hilang sifat marah.

Jika ada sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, berfikirlah sejenak untuk terlebih dahulu menilai atau muhasabah diri sendiri terlebih dahulu. Renungkan dalam hati sendiri adakah perkara itu juga berpunca dari kita sendiri? Adakah sebelum ini kita mengambil langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu daripada berlaku?

Jika kita mampu berfikir sedemikian, cahaya kebenaran mudah memasuki ruang hati dan memberi petunjuk apakah tindakan yang wajar dilakukan seterusnya. Pada ketika itu syaitan tidak berpeluang untuk menyemarakkan perasaan marah, yang lahir adalah keinsafan dan sifat memaafkan.

Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.

Bagi orang yang bersifat pemaaf, padanya tiada seorang pun dalam hatinya tersimpan perasaan marah. Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya.

Banyak masalah berkaitan hubungan sesama manusia berpunca sifat marah dan membalas dendam. Biarpun perselisihan kecil, perkara itu tidak dapat diselesaikan disebabkan perasaan dendam masih bertapak di hati.

Sikap berdendam hanya merugikan kedua-dua pihak. Paling tertekan ialah pihak yang lebih banyak berdendam. Hatinya tidak tenteram dan sentiasa ada perasaan buruk sangka. Kadangkala, yang berdendam hanya sebelah pihak. Sedangkan, sebelah pihak lagi menganggap persengketaan sebelum ini selesai.

Jika sifat memaafkan diamalkan, insya Allah, kita juga tidak akan menanggung kemarahan daripada orang lain. Sesungguhnya Allah terlebih awal memberi keampunan dengan rahmat-Nya.

Thursday, May 14, 2009

KALAM HIKMAH KE 9 :HATI ADALAH MENENTUKAN AMAL IBADAH LAHIRIAH

Menurut Kalam Hikmah Ibnu Ataillah Askandary yang ke 9 adalah seperti berikut:

"Berbagai jenis amal ibadah (yang dikerjakan) karena berbagai rupa segala sesuatu yang datang pada gerak hati."

Kalam yang pendek tetapi pengertian yang mendalam. Tafsirannya ialah:

1. "Al-'Amal" bermaksud :

"Gerak-gerik yang bertalian dengan tubuh jasmaniah (manusia). Misalnya, Puasa, Solat dll."

2. "Al-Ahwal" adalah jamak dari perkataan "Hal": "Gerak-gerik yang berhubung dengan hati" iaitu timbul perasaan dalam hatinya yang menyebabkan ia kasih dan sayang kepada fakir miskin, ini melahirkan ibadah mengeluarkan zakat, sedekah, membantu anak yatim, mengumpul dana sosial bagi membantu mangsa bencana alam, peperangan dan sebagainya. Jika dalam hatinya timbul perasaan bersalah dan berdosa, maka menonjollah dalam amal ibadahnya taubatnya kepada Allah dengan jalan memulangkan harta orang, meminta maaf kepada yang bersangkutan kesalahan lalu, minta ampun kepada Allah SWT, berzikir, membaca Al-Quran, bersalawat atas Nabi, mengerjakan perintah-perintah wajib yang lain, dan bertafakkur dalam pengertian "Ihsan" sebagai mana yang dianjurkan oleh Rasullulah SAW.

3. Sebagusnya dalam beramal menurut ilmu tasawuf, hendaklah di pimpin oleh seorang guru yang alim dalam ilmu Syari'at dan Hakikat, di samping juga guru itu mengetahui pula hal keadaan murid-muridnya dalam ilmunya dan amalnya. Apalagi tentang penyakit-penyakit hati yang terdapat pada seseorang murid. Dengan sebab itu maka si guru dapat memimpin seseorang murid melihat keadaannya dan penyakit-penyakitnya.

Andaikata apabila bermacam-macam perasaan datang sekali gus kepada hati si murid, misalnya ingin mengerjakan solat sunat sebanyak-banyaknya, dan membaca Quran sebanyak-banyaknya, tetapi kenyataannya apabila ia mengerjakan solat sedemikian banyaknya, maka menyebabkan dia merasa penat, dan solatnya menjadi kurang khusyuk, bacaan qurannya juga kurang sempurna.

Maka bagi si guru yang 'Arif tentang hal muridnya, ia akan menasihati agar lebih mengutamakan solat fardu, solat -solat fardu yang terdahulu yang mungkin pernah ditinggalkan.Jadi dengan minat yang mendalam untuk mengerjakan solat sebanyak yang mungkin harus didorong dan dituntun. Mudah -mudahan kealpaan di zaman silam di ampunkan oleh Allah. Jika kita tiada siapa yang menuntun atau memimpin

4. Imam Ghazali telah berpendapat tentang masalah hati yang berhubung dengan amal lahiriah dan ada 3 jenis ;

a) Hati yang penuh dengan taqwa, suci dari akhlak-akhlak yang tidak baik. Hati yang begini sentiasa bersinar pada akal dalam berfikir pada yang baik-baik dan menyebabkan terbuka sinar matahati, sehingga hati selalu melihat segala sesuatu yang baik-baik dan diridhai oleh Allah. Apabila hati telah suci dari segala penyakitnya, maka dekatlah hati kepada Allah, dengan mensyukuri nikmat-nikmatNYA. Sabar dan takut kepadaNYA, serta mengharapkan kasih sayangNYA, rindu dan tawakkal kepadaNYA. Ketika ini hati sentiasa merasa tenteram, tenang dan tidak kacau -bilau atau gelisah dengan persoalan- persoalan duniawi.

Firman Allah dalam surah Ar-Ra'ad, ayat 28-29, bermaksud:

"Orang-orang beriman itu hati mereka menjadi tenteram kerena mengingati Tuhan. Ingatlah, bahawa dengan mengingati Tuhan itu, hati menjadi tenteram. Orang-orang yang beriman dan mengerjakan perbuatan baik, mereka memperoleh untung baik dan tempat kembali yang utama." (Ar- Ra'ad: ayat 28-29)

b) Hati yang penuh dengan gelora hawa nafsu dan penyakit hati di mana dengannya terbuka pintu hati untuk iblis dan syaitan tetapi tertutup untuk malaikat-malaikat Tuhan. Hati yang begini, kontak dengan akal. Maka akal pada waktu itu membantu hati untuk bagaimana terlaksana hawanya dan nafsunya. Maka lapanglah dada dalam memanjang hawa nafsu. Dhaiflah kekuatan iman, disebabkan asap yang gelap terhadap hati. Firman Allah dalam surah Al-Furqan ayat 43-44, yang bermaksud:

"Tidakkah engkau perhatikan orang yang mengambil kemauan nafsu nya menjadi Tuhannya? Engkaukah yang menjadi penjaganya? Apakah engkau mengira bahawa kebanyakkan mereka mendengar atau mengerti? Tidak! Mereka adalah sebagai binatang ternak, bahkan lebih tersesat lagi jalannya." (Al -Furqan : 43 -44)

Dari ayat ini dapatlah difahami bahawa apa bila keadaan menjadikan nafsu sebagai tuhan, maka muncullah ke alam nyata perbuatan-perbuatan anggota yang bertentangan dengan ajaran-ajaran agama disebabkan menurut hawa nafsu yang telah mendalam di dalam hati.

c)Hati yang terumabng-ambing antara kebaikan dan kejahatan atau dengan kata lain antara malaikat dan syaitan. Hati ini akan sering merasa ragu disebabkan kadang-kadang timbul daya tarikan kepada kejahatan, tetapi pada waktu itu akan datang pula daya tarikan kebaikan. Firman Allah bermaksud : "Maka barang siapa yang hendak dipimpin oleh Allah, niscaya dibukakanNya hatinya untuk Islam, dan siapa yang hendak disesatkan oleh Allah, maka Allah akan menjadikan dada orang itu sesak dan sempit seperti orang-orang yang tidak beriman. Dan inilah jalan Tuahnmu, jalan yang lurus. Sesungguhnya telah kami jelaskan keterang-keterangan kepada kaum yang mahu memperhatikan ." (Al-An'am : Ayat 125-126)
(Allah yang mengilhamkan ketakwaan)

Kesimpulan:
Apabila amalan lahiraiah yang kita amalkan terpelihara daripada hasad, khianat dan lain-lain maka adalah amal yang kita kerjakan itu adalah timbul dari kehendak hati yang diilhamkan oleh Allah SWT. Maka hendaklah ditetapkan hati untuk mengerjakan kebaikan itu. Untuk sampai kepada hakikat perasaan Tasawuf, di samping mentaati Allah dengan menjauhi larangan-larangNYa dan selalu minta ampun kepadaNYA, maka janganlah lupa berdoa : " Wahai tuhan yang membolak-balik segala hati makhlukNYA! tetapkan olehMu, ya Allah hatiku atas agamaMU."

Mudah-mudahan hati kita dipimpin oleh Allah sehingga segala amal ibadah lahiriah sejalan dengan hati, disebabkan Taufiq dan HidayahNYA. Amin...

Sunday, March 29, 2009

Kalam Hikmah ke 8: Terbuka Jalan Makrifat Kepada Allah

Kalam Hikmah yang ke 8; Imam Ibnu Athaillah Askandary bermaksud;

"Apabila Allah membukakan bagi anda jalan untuk mengenal- Nya, maka janganlah anda ambil peduli tentang sedikit amalanmu, karena Allah SWTtidak membukakan jalan tadi bagimu selain Ia-Nya Allah berkehendak memperkenalkan (DzatNya atau sifat-sifatNya) kepadamu."

Sesungguhnya berkehendak 'memperkenalkan DzatNya' kepada manusia pilihan adalah merupakan anugerah Allah.

Segala amal-amalan yang kita lakukan adalah untuk Allah , dan dimanakah fungsi pemberian anda kepada Allah apabila dibandingkan pada apa yang didatangkan Allah atas kita?

Kalam Hikmah ini mengandungi pengertian tentang tujuan kita selaku hamba Allah dalam perjalanan kepada Allah dengan mengerjakan amal ibadah sebagai yang dikehendaki dalam ajaran agama Islam. Maka dijelaskan seperti berikut:

1. Hamba-hamba Allah yang mengerjakan amal ibadah dengan sebanyak mungkin, tujuannya agar sampai kepada Allah dengan perasaan sepenuh hati dan perasaan mengenal Allah. Apabila kita tekun dan sabar mengerjakan amal ibadah, lama-kelamaan, insyaAllah pintu hati kita dibukakan oleh Allah SWT untuk mengenal (makrifat) kepadaNya.

Makrifat kepada Allah ialah kita merasakan bahawa Allah “ADA” di mana saja kita berada. Allah melihat hal keadaan kita. Dan pula perasaan kita yang bercampur dengan aqidah yang mendalam bahawa tidak ada yang berbuat dan berkuasa selain hanya Allah SWT. Di mana sahaja kita berada, Allah selalu bersama kita. Segala perbuatan dan tindak-tanduk kita dilihat oleh Allah.

2. Apabila aqidah dan perasaan kita telah mendalam , kadang-kadang ada juga waktu-waktu tertentu amal ibadah yang dilakukan itu berkurangan di kerjakan seperti sebelumnya. Tujuan amal ibadah yang dikerjakan adalah untuk dapat hamper kepada Allah, sedang terbuka jalan seperti yang telah dianugerahkan Allah kepada kita adalah bukti yang nyata, bahawa kita mulai dekat kepadaNya, dan kita akan menjadi sebahagian hamba-hamba yang dikasihi olehNya. Kemungkinan terjadi sedikit amal ibadah yang dikerjakan disebabkan penyakit yang ada pada tubuh badan kita, tetapi apabila makrifat kita kepada Allah sudah begitu mendalam, maka kita mengetahui dengan rasa yakin bahawa sakit itu lebih baik dari sihat, karena kita dalam sakit boleh meningkatkan hal keadaan kita untuk lebih dekat kepada Allah daripada sihat, yang mana kita akan jauh daripadaNya. Oleh sebab itu, meskipun sedikit amal ibadah yang dikerjakan, tetapi hati terus mendekat kepada Allah, sehingga terbukalah makrifat kita kepada DzatNya dan sifat-sifatNya dalam kita melihat alam makhluk dunia ini.

3. Ketahui lah, bahawa Allah membuka jalan makrifat untuk dapat kita kenal Dia (Allah), adalah merupakan kehendakNya, semoga dengan kurniaNya kita dapat dekat dengan Allah. Terbuka segala sifatNya dan termakan pengertian asmaNya dalam hati dan perasaan tubuh
Jasmaniah kita. Terbuka jalan ini adalah lebih besar nilainya daripada amal ibadah yang banyak, tetapi sunyi atau sedikit sekali makrifat kita kepada Allah SWT. Bandingkan antara nikmat yang maha besar ini dengan amal ibadah yang kita kerjakan. Segala amal ibadah yang kita lakukan dipersembahkan kepada Allah dan dengan kurniaNya, Allah memberikan pula kepada kita nikmat makrifat dimana kita kenal Allah dalam erti yang
Lebih luas dan mendalam. Hamba Allah yang soleh mempunyai pendirian, bahawa pemberian si hamba kepada majikan adalah dianggap kecil, apabila dibandingkan dengan pemberian majikan kepada hambaNya.

Kesimpulan.

Selaku hamba Allah, biar amal ibadah kita sedikit, asal saja makrifah Allah bersemayam di dalm hati dan diri kita. Ini adalah lebih bagus, daripada amal ibadah yang banyak tetapi hati lalai kepada Allah, Tidak sejalan antara ibadah yang kita kerjakan dengan hati kita sendiri. Sebab itu maka Allah mencela dan memandang rendah orang-orang yang mengerjakan solat tetapi hatinya tidak kepada Allah,
Sebagai mana firmannya dalam al-Quran surah Al-Maa’un: ayat 4-6, bermaksud;

“Sebab itu celakalah orang-orang yang sembahyang, Dimana mereka lalai dari solatnya.Mereka mengerjakan kebaikan supaya dilihat orang.”

Apabila kita diberikan oleh Allah sebahagian nikmat makrifat kepadaNya, maka hendaklah selalu kita hadapkan hati kita kepada Allah dalam erti yang luas. Sebab Dialah yang maha berkehendak. Maha berkuasa, Maha Pengasih, Maha Penyayang dan lain-lain sebagainya dari sifat-sifat Allah
Yang Maha Agung dan tak terhingga jumlahnya.

Dengan demikian, Allah akan menambah hamper kita kepadaNya dan mementingkan kita dalam segala hal yang kita hadapi. Oleh kerana itu maka hamba-hamba Allah yang ‘Arif kepadaNya kadang-kdang kita lihat amal lahiriah mereka sedikit, tetapi rupanya yang sedikit itu nilainya
Adalah lebih besar di sisi Allah SWT.

Kalam Hikmah ke 7: Yakinlah pada Janji Allah

Kalam Hikmah Imam Ibnu Athalillah Askandary yang ke7;bermaksud:

"Jangan anda diragukan pada janji Allah oleh (sebab) tidak (belum) terjadi sesuatu yang dijanjikan, meskipun zaman nya telah tertentu. Hal ini supaya jangan ada keraguan itu (menimbulkan) kerosakkan pada matahati dan memdamkan nur cahaya rahsia hati anda."

Bagi hamba-hamba Allah SWT, yang selalu patuh dan taat pada menjalankan ajaran-ajaran agamanya, di dalam hidupnya pasti akan timbul sewaktu-waktu suatu "keputusan hati" atau dengan kata lain "ketetapan hati" pada sesuatu yang tidak bertentangan dengan agama.

Contohnya, ketetapan hati untuk berkahwin dengan seorang perempuan yang menurut kita adalah baik pada pandangan agama, untuk menjaga kita jangan sampai jatuh pada sesuatu yang tidak diridhai oleh agama. Ketetapan hati yang kita buat adalah berdasarkan kepada dalil-dalil seperti petunjuk melalui mimpi yang bukan dikacau atau diganggu syaitan dan Iblis. Seseolah mimpi itu datangnya dari Malaikat.

Cuma yang terang hal keadaan itu kita terima dari hamba Allah yang soleh dan taat, ataupun keputusan hati itu datang dengan perantaraan ilham yang betul-betul dari Allah SWT.

Apabila keputusan hati atau ketetapannya datang seperti di atas, tetapi kenyataannya bahawa yang terjadi tidak seperti demikian, atau betul terjadi tetapi meleset dari waktu yang ditetapkan, maka dalam hal ini, kita mesti yakin dan tidak boleh ragu-ragu pada janji Allah. Janji Allah adalah benar, cuma belum sampai masanya.

Allah belum mahu menyampaikan janjiNya, berkemungkinan salah satu daripada 3 perkara berikut:

1) Mungkin janji itu akan ditukar oleh Allah dengan sesuatu yang lebih baik menurut Allah, jika merujuk contoh yang diberikan, kita tidak diizinkan oleh Allah untuk berkahwin dengan "A", tetapi Allah merealisasikan janjiNya bahawa kita mengkahwinkan dengan "B".

2)Adakalanya janji Allah ditepati olehNya di akhirat, dengan menjanjikan hal keadaan ini sebagai pahala buat kita.

3) Janji Allah itu dilaksanakan juga olehNya, tetapi agak lambat dari waktu yang telah ditetapkan, oleh kerana mungkin saja Allah melaksanakan janjiNya ada pertalian dengan syarat-syarat atau sebab-sebab di mana kita tidak mengetahuinya sama sekali. Seperti contoh di atas, Allah melambatkan perkahwinan dengan "A" , kerana Allah menghendaki agar persiapan-persiapan kita telah begitu lengkap sebelum menghadapi perkahwinan. Allah SWT tidak memperlihatkan syarat-syarat untuk terlaksana janjiNya itu, tidak lain selain hikmah yang dikehendaki olehNya. Dan apabila kita menoleh pada hikmah tersebut, maka tentu saja dalam hati kita tidak timbul keraguan apa-apa tentang Allah melaksanakan janjiNya.

Wajib keatas kita selaku hamba Allah mengetahui dimana ukuran kita, yang dalam hal ini kita tidak boleh mendahului Allah, dan kita juga harus menjaga adab kita kepadaNya. Dengan demikian maka tenanglah hati kita, yakin dan tidak ragu-ragu atas keputusan hati dan ketetapanNya dimana telah kita anggap keadaan ini sebagai janji Allah. Apabila pendirian kita seperti ini, maka bererti aqidah kita terhadap Allah telah begitu mendalam dan pasti tidak akan tergoyang oleh apa pun. Maka barang siapa yang telah diberi hikmah oleh Allah seperti aqidah ini, nescaya orang tersebut telah dapat disebutkan dengan 'Aarif-Billah (yang betul-betul mengenal Allah), Saliimul Bashiirah (yang sejahtera katahtinya).

Tetapi jika pada hamba Allah itu tidak ada dalam keyakinannya seperti yang telah disebutkan tadi, maka tentu saja orang tersebut adalah tidak mengetahui Allah, matahatinya rosak dan hatinya penuh dengan kegelapan yang bermacam-macam.

Demikian lah erti kalam hikmah di atas, dan mudah-mudahan menjadi petunjuk buat kita dalam menghadapi berbagai permasalahan dalam hidup dan kehidupan ini. InsyaAllah.

Thursday, March 12, 2009

Kalam Hikmah Yang Ke 6 : Jangan Bosan Berdoa Kepada Allah SWT

Al-Imam Ibnu Athaillah Askandary berkata dalam Kalam Hikmahnya yang ke enam seperti berikut:

"Jangan ada kiranya lambat waktu kurnia (Allah SWT) disamping bersungguh-sungguh dalam
berdoa, menyebabkan putus harapan mu (kepada Allah). Kerana itu Allah SWT telah menjamin kepada mu pada meperkenankan doamu, pada apa yang dipilih oleh Tuhan untukmu, tidak pada apa yang kamu pilih sendiri untukmu."

Keterangannya adalah seperti berikut:

1. Kita selaku hamba Allah hendaklah berdoa dan memohon kepadaNya,sebab ini adalah petanda bahawa kita adalah makhlukNya yang tidak melepaskan diri daripadaNya. Barang siapa yang tidak berdoa kepada Allah, dia tergolong orang-orang yang sombong. Firman Allah di dalam Al-Quran, surah Al-Mukmin ;ayat 60 bermaksud:

" Dan Tuhan kamu berfirman : berdoalah kepada ku, nanti Ku perkenankan (permintaan) kamu itu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan dirinya dari menyembahKu, akan masuk neraka jahanam dengan kehinaan."

Kita harus berdoa kepada Allah dan Allah akan meperkenankan doa kita. Kita boleh memohon sesuatu kepadaNya, tetapi Tuhanlah yang berhak menentukan pada apa yang kita pilih. Sebab kita tidak mengetahui apakah sesuatu yang kita pohon itu, adakah baik disisi Allah atau tidak.

Kita boleh berdoa agar permintaan kita itu diperkenankan Allah pada waktu yang kita tentukan, tetapi Allah lah  yang berhak dan berkuasa untuk memperkenankan doa kita itu diwaktu yang dikehendaki oleh Allah, bukan pada waktu yang kita kehendaki. Kenapa ini berlaku? Kerana kita tidak mengetahui adakah doa kita itu baik disisi Allah atau tidak.  Mungkin menurut pendapat kita doa itu baik, tetapi menurut Allah ada yang lebih baik lagi, atau yang doa tadi tidak baik sama sekali kepada kita. Demikian sebaliknya, menurut kita doa itu itu tidak baik, tetapi Allah menganggapnya baik. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 216:

"....Dan boleh jadi kamu kurang menyukai sesuatu sedangkan ia amat baik untukmu, dan boleh jadi(pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Tuhan mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."

Yang dikatakan doa kita mustajab apabilanTuhan memperkenankan doa kita itu dengan RidhaNya dan pilihanNya, bukan pilihan kita dan pada waktu yang Ia kehendaki, bukan pada waktu yang kita kehendaki.

Keadaan ini serupa dengan amal ibadah yang kita lakukan, kebagusan ibadah kita dilihat diakhir hayat kita samada mati dalam husnul khatimah atau suul khatimah. Dan kita berlindung kepada Allah dari doa yang mengakibatkan keburukan di akhir hayat kita.