Wednesday, October 28, 2009

Kalam Hikmah Ke 11: Tidak Boleh Pamer Pada Ibadah

Menurut Kalam Hikmah ke 11 , Imam Ibnu Athaillah Askandary telah merumuskan sebagai berikut , sebagai ;

Bermaksud :
"Tanamkanlah ujudmu dalam bumi yang sunyi sepi, karena sesuatu yang tumbuh dari benda yang belum ditanam tidak sempurna hasilnya."

Pengertian Kalam Hikmah ini adalah sebagai berikut :

1. Hamba Allah yang sedang berjalan dengan amal ibadahnya untuk menghampiri diri kepada Allah dengan makrifat kepadaNYA, adalah salah satu syarat-syarat sampai kepada tujuan tersebut ialah "Tawadhuk" , yakni tidak bermaksud untuk menjadi terkenal , masyhur dan nama disebut-sebut orang di mana jua. Ia wajib menguburkan dirinya dalam bumi yang sepi. Maksud di sini dia tidak boleh menonjolkan dirinya kepada peluang dan jalan-jalan yang mendatangkan kemasyhuran. Di tahan dirinya dari mencapai pangkat dan kedudukan , kekuasaan yang boleh meyebabkan namanya jadi terkenal.

Kenapa demikian?

Sebabnya menyembunyikan diri dalam sikap dan perasaan adalah membantu mewujudkan keikhlasan yang hakiki dan sempurna. Tetapi apabila keinginannya dan cita-citanya supaya dikenali oleh orang, menarik perhatian orang, karena maksud yang tidak baik, di antaranya bersifat peribadi , maka hal keadaan ini akan dapat memutuskan hubungan dengan Allah SWT disebabkan keikhlasan telah berkurang , apalagi kalau rosak sama sekali.


2. Apabila seseorang hamba Allah memang sudah masyhur sejak semula, dan kemudian barulah dia mulai berjalan atas jalan yang telah di atur oleh ulama' Tasawuf demi untuk mendekatkan dirinya kepada Allah SWT, maka kewajibannya adalah "tawadhuk" dan tidak berlaku sombong kepada sesiapa pun juga.

Apabila dia berpangkat tinggi atau kaya , atau berkuasa dalam masyarakatnya, bersikap tidak meninggi diri , berasa tidak seronok dengan kedudukannya itu dan dia beranggapan adalah lebih baik meninggalkan saja semua itu. Dalam hal ini, dia tidak boleh terburu-buru atau gelabah dalam membuat keputusan begitu(meninggalkan pangkat, kekayaan dan kekuasaan) tanpa berfikir antara maslahat dan mafsadat dan tanpa musyawarah dengan gurunya, yang menuntun dia jalan menuju Allah SWT, apatah lagi jika mengambil sesuatu keputusan untuk meninggalkannya tanpa keizinan Allah.


3. Jika seseorang itu melakukan amal ibadah bermaksud untuk dikenal orang walaupun di dalam hati tumbuh juga kecintaan kepada Allah, maka sedikit sahaja kemenangan yang diperolehi sesuai dengan besar kecil keikhlasannya. Sebahagian ulama' tasawuf berkata;
"Tidak aku kenal seorang laki-laki (manusia) yang lebih mencintai agar ia dikenal orang, terkecuali agamanya telah hilang dan ia telah mendapatkan keaiban (pada agamanya dan akhlaknya)."

Berdasarkan, maka sebahagian ahli tasawuf menambah lagi sebagai berikut:
"Tidak akan dapat kemanisan akhirat seseorang yang lebih mencintai supaya ia dikenal oleh manusia."


4. Dalam menyembunyikan ujudnya , manusia terbahagi kepada 3 macam:

a) Hamba Allah yang telah berkuasa atasnya kepastian yang mendalam tentang "kamaliahnya Allah SWT" (kesempurnaan Allah SWT) yakni perasaannya diliputi bahawa yang sempurna dalam segala hal adalah Allah SWT. Selain Allah, semua makhluk mempunyai kekurangan-kekurangan dan tidak ada satu makhluk pun yang sunyi kekurangan-kekurangan ini. dengan itu dia merasa tenggelam dan terbenam di dalam kesempurnaan Allah SWT. Hal ini menimbulkan kepercayaan yang kukuh baginya bahawa semua yang ia dapatkan berupa kesenangan dan lain-lain adalah kerana kurnia dan kasih sayang Allah. Ini akan membersihkan hatinya dari rasa bongkak dan sombong dan lupa pada kekurangan diri sendiri. Dan menurut firman Allah, dalam surah An-Nur, ayat 21 :


۞ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٲتِ ٱلشَّيۡطَـٰنِ‌ۚ وَمَن يَتَّبِعۡ خُطُوَٲتِ ٱلشَّيۡطَـٰنِ فَإِنَّهُ ۥ يَأۡمُرُ بِٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِ‌ۚ وَلَوۡلَا فَضۡلُ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ وَرَحۡمَتُهُ ۥ مَا زَكَىٰ مِنكُم مِّنۡ أَحَدٍ أَبَدً۬ا وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ يُزَكِّى مَن يَشَآءُ‌ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ۬ (٢١)


bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan (ingatlah!) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui "(21)


b) Hamba Allah yang mendapat Taufiq dan Hidayah Allah SWT kepada jalan makrifat terhadap Allah, ia dapat melihat segala kebaikan Allah sebagai Pencipta seluruh alam. Dengan demikian ia melihat bahawa semua kebaikkan yang dikerjakannya dianggapnya masih terdapat kesalahan-kesalahan. Maka keadaan ini telah menumbuhkan biji-biji hikmah di hatinya. Hikmah itu ialah "ilmu" dan "aqeedah"yang bermanafaat bagi manusia dalam hubungannya dengan Allah SWT.


c) Seorang hamba Allah yang mengutamakan nafsu, meskipun dia itu berilmu, faham dan mengerti, tetapi masih dikacau oleh keraguan-keraguan sehingga membawa keuntungan dan kesenangan peribadi kepada dirinya.

Maka hamba Allah ini perlu membuang dan menghilangkan keadaan tersebut dengan apa cara sekali pun asalkan tidak melanggar syariat Allah. Contohnya membatasi makan minum yang menimbulkan syahwat atau yang memberatkan dirinya dalam mengerjakan ibadah. Disamping itu harus membatasi diri dari pergaaulan kemasyarkatan yang membawa pengaruh yang kurang baik terhadap dirinya. HAmba Allah ini mendapat pimpinan dari gurunya yang Alim dan 'Arif. Dia harus menyedari bahawa ia membatasi dirinya dari masyarakat bukan berarti kerena niat untuk menjauhkan diri, tetapi untuk mencari ketenangan dan ketenteraman dalam menyembah Allah SWT dalam erti yang lebih luas.

Kesimpulan:
Apabila kita dapat mengamalkan kalam hikmah yang ke 11 ini, maka kita akan bahagia di sisi Allah dan termasuk dalam golongan hamba-hambaNYA yang muttaqin dan mendapat kesudahan yang baik disisiNYA.

Firman Allah surah Al-Qashash , ayat 84 :


مَن جَآءَ بِٱلۡحَسَنَةِ فَلَهُ ۥ خَيۡرٌ۬ مِّنۡہَا‌ۖ وَمَن جَآءَ بِٱلسَّيِّئَةِ فَلَا يُجۡزَى ٱلَّذِينَ عَمِلُواْ ٱلسَّيِّـَٔاتِ إِلَّا مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ (٨٤)

bermaksud "Sesiapa yang datang membawa amal baik (pada hari akhirat) maka baginya balasan yang lebih baik daripadanya dan sesiapa yang datang membawa amal jahat, maka mereka yang melakukan kejahatan tidak di balas melainkan dengan apa yang mereka kerjakan. "(84)


InsyaAllah mudah-mudahan kita termasuk dalam hamba-hamba Allah yang dapat mengamalkan akhlak Tasawuf. Amin.