Wednesday, May 9, 2012

Kalam Hikmah Ke 13 :Jalan-jalan Terbuka Matahati Menuju Hadirat Allah S.W.T




بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Dalam Kalam Hikmah Ke 13, Ibnu Athaillah Askandary menyatakan "Bagaimana hati akan dapat disinari sedangkan gambar-gambar alam mayapada ini tercap dalam kaca hatinya. Atau bagaimanakah seseorang boleh berjalan kepada Allah, sedangkan ia terikat dengan syahwat-syahwatnya. Atau bagaimana seseorang berkecimpung kuat untuk masuk ke hadirat Allah, sedangkan ia masih belum suci dari junub kelalaiannya. Atau bagaimana seseorang mengharapkan agar dapat memahami rahasia-rahasia yang halus sedangkan ia belum taubat dari dosa-dosanya."

Kalam hikmah kali ini merupakan rumusan-rumusan hikmah yang bersifat pertanyaan-pertanyaan tetapi mengandungi pengertian-pengertian mendalam yang bertalian dengan kalam hikmah sebelumnya tentang 'uzlah.

Kalam hikmah ini mengandungi 4 pertanyaan dimana antara soalan dan jawapan menimbulkan kontradiksi yang mustahil pada akal mengumpul antara keduanya.

Perhatikan pertanyaan pertama:
"Bagaimana hati kita akan bersinar apabila sesuatu di alam mayapada melekat sedemikian rupa dalam matahatinya?"

Maksudnya ialah apabila seseorang hamba Allah telah menjauhkan dirinya dari makhluk, tetapi hatinya masih  terikat kepada hartanya, kekayaannya, kedudukannya dan lain-lain, Maka pasti tujuan supaya hati bersih dengan sempurna menghadap Allah tidak akan berhasil.

Alam dunia telah mempaut hatinya, hatinya gelap dan sulit untuk menerima sesuatu selain dunia. Ibarat sekeping kaca yang dilekati debu yang tebal, sukar untuk cahaya menebusinya atau sekeping cermin yang dihinggapi debu tebal, sukar untuk kita melihat wajah kita yang terpapar di cermin tersebut.

Demikian hati manusia apabila telah begitu kuat terpaut pada dunia dan keindahannya, akan sulitlah hati untuk mengarah kepada tujuan menghadap Allah dengan syuhud dan tajalli seperti yang dimaksudkan dengan pengertian ihsan dalam Hadith Rasullulah S.A.W iaitu,

Bermaksud; "Bahawa anda sembah Allah seolah-olah anda melihatNYA. Maka jika anda belum dapat melihatNYA, maka sesungguhnya Allah S.W.T melihat anda."
Jadi jika hati kita telah gelap, maka sinar makrifah akan jauh, sebab hati ini mukanya hanya satu. Jika muka ini terhadap dunia, maka jauhlah ia dari Allah. Maka itu walaupun kita hidup di dunia secara lahiriah tetapi jangan ikat hati kita dengan dunia.

Kesimpulan persoalan 1: Mustahil pada akal dapat berkumpul di dalam hati  antara cahaya iman dengan gelap gulita dunia pada satu masa.


Perhatikan pertanyaan ke 2:
"Atau betapakah seseorang hamba Allah berjalan kepadaNYA padahal ia diikat dengan syahwat-syahwatnya."


Di dalam mengerjakan ajaran-ajaran agama, pada hakikatnya bukan sekadar patuh dan taat kepada Allah S.W.T saja, tetapi kita juga  sedang berjalan kepada Allah dengan erti hubungan kita dengan Allah akan semakin dekat, baik dalam ilmu kita, keyakinan kita dan keseluruhan perasaan kita.

Ini akan dapat kita capai apabila kita memutuskan hubungan dengan kehendak-kehendak hawa nafsu dan syaahwat yang akan menjerumuskan kita jauh dari Allah S.W.T.

Jika kita berada di dalam tawanan hawa nafsu adalah sulit untuk kita mencapai tujuan dan maksud mendekati Allah S.W.T. Setiap kali kita bangun berdiri untuk melangkah setiap kali juga kita akan jatuh tersungkur. Meskipun kita sanggup melangkah tetapi perjalanan kita lambat sekali dan akhirnya kita tertinggal kerugian. Meskipun kita dapat berjalan cepat tetapi di dalam perjalanan kita itu sering tertahan-tahan dengan berbagai-bagai karenah hawa nafsu.

Setiap pagi berkumpul di dalam hati kita keinginan yang kuat untuk berjalan kepada Allah, tetapi pada waktu petang tentera-tentera syahwat telah menyerang pertahanan, sehingga benteng hati menjadi runtuh dan porak peranda.

Begitulah gambaran bagaimana sulitnya kita menuju Allah S.W.T apabila kita masih terikat dengan ikatan-ikatan syahwat dan nafsu. Pada waktu ini terdindinglah antara akal dan Allah sehingga akal tidak dapat meningkatkan makrifah kepada Allah S.W.T.




Perhatikan pertanyaan ke 3:
"Atau betapakah seseorang (hamba Allah) bercita-cita masuk ke hadirat Allah padahal ia belum suci dari junub kelalaian-kelalaiannya."

Maksudnya apabila seorang hamba Allah telah bersusah payah mengharungi perjalanan yang mempunyai banyak cubaan-cubaan menuju Allah S.W.T dan berkat ketabahannya, akhirnya ia sampai pada satu perbatasan antara daerah kebanyakkan manusia dengan daerah khusus hamba-hamba Allah yang baik-baik.

Pada waktu itu hamba Allah tadi dengan secara kasar, tamak atau menerjah untuk dapat masuk ke daerah khusus yang memang dikhususkan oleh Allah untuk para RasulNYA, Nabi-nabiNYA dan para AuliaNYA, tetapi hatinya belum begitu bersih dari bermacam-macam kelalaian tentu saja tidak mungkin baginya dapat masuk ke daerah tersebut.

Sebagai contoh, orang yang masih dalam keadaan berjunub (belum mandi wajib setelah berjunub) dilarang dari memasuki masjid apalagi untuk mengerjakan amal ibadah yang memerlukan kesucian dari hadath besar.

Maksud junub hati ialah kelalaian hati dalam banyak hal sehingga lupa Allah S.W.T. Maka kesucian hati diperlukakan untuk sentiasa ingat Allah dengan berzikir dengan lidah dan hati dan seluruh perasaan.

Disamping itu harus berfikir mencari jalan bagaimana tidak sampai jatuh ke dalam jurang-jurang kelalaian. Ini sudah dihuraikan dalam Kalam Hikmah ke 12.


Perhatikan pertanyaan ke 4:
"Atau betapakah seseorang berharap untuk dapat memahami rahasia-rahasia yang halus, sedangkan ia belum taubat dari maksiat-maksiatnya (yang dikerjakan tanpa sengaja)."

Apabila seorang hamba Allah telah sampai ke daerah khusus buat para hamba-hambaNYA yang soleh, maka pada waktu itu ia berharap supaya ia dapat memahami ilmu-ilmu pengetahuan Ketuhanan yang halus-halus di mana telah dikurniakan oleh Allah pada segala hati hamba-hambaNYA yang 'Ariffin, yakni hamba-hamba Allah yang telah terbuka dinding dan hijab antara mereka dengan Allah S.W.T.

Harapan baru sampai apabila dirinya sudah terpelihara daripada dosa-dosa yang diperbuatnya dengan sengaja, kerana yang kedua ini sudah jelas hukumnya, iaitu kita wajib bertaubat kepada Allah.

Namun, harapan tadi tidak kesampaian kerana kita masih lagi sering khilaf berbuat dosa tanpa disedari. maka itu seringlah bertaubat untuk dosa-dosa yang tidak disedari. Dosa-dosa ini akan mengeruhkan hati dan membawa karat pada hati.

Ibarat air yang kita telah tapis mengguna filter yang bagus pun, tetapi masih berlaku juga mendapan keladak yang halus menyebabkan batang dalam filter berkeladak seperti karat.

Karena inilah maka siapa pun dari hamba Allah yang menginginkan agar Allah memberikan ilmu-ilmu yang halus dalam keagamaan dan ketuhanan, disamping ikhtiar menuntut ilmu, dia juga wajib taqwa kepada Allah hingga sampai tidak mengerjakan dosa tanpa disengajakan. maksudnya kita mesti sangat berhati-hati di dalam apa jua urusan hidup ini, bukan sebarang langgar walaupun kita menyangka telahpun mengikut sunnah dan syariat agama.

Firman Allah dalam Al-Quran, surah AL-Baqarah, ayat 282 :

 وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۖ وَيُعَلِّمُڪُمُ ٱللَّهُ‌ۗ

bermaksud : "Dan bertaqwalah kepada Allah, dan Allah akan memberikan ilmu pengetahuan kepada kamu."


Jadi apabila kita bertaqwa kepada Allah, bersih dari segala dosa, baik yang sengaja atau tidak sengaja, mengamalkan ilmu yang telah dipelajari maka Allah S.W.T akan memberikan ilmu ladunni kepada kita iaitu ilmu yang belum kita ketahui sama sekali.

Berkata Imam Ahmad bin Hanbal dari Hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Nu'aim dari hadith Anas sebagai berikut:

Maksudnya " Barangsiapa yang beramal dengan ilmunya, maka Allah S.W.T akan memberikan kepadanya ilmu yang belum diketahuinya."

Ketahuilah bahawa ilmu Allah S.W.T  adalah nur Allah, oleh itu kita wajib memelihara nur itu. Imam Malik telah berwasiat kepada muridnya Imam Syafi'i r.a. :

Bermaksud  "Taqwalah kepada Allah, dan janganlah engkau padamkan cahaya yang telah dikurniakan Allah S.W.T kepadamu, dengan mengerjakan dosa-dosa."


Kesimpulan:

Bahawa tuntutan dalam mengerjakan ajaran agama ada 4 ,

1. Agar hati terang dan bersinar, maka hendaklah kita jauhkan segala sesuatu yang ada di alam dunia ini sehingga melekat di matahati dan menjauhkan kita dari berjalan menuju Allah.

2. Untuk berjalan ke hadirat Allah S.W.T, jauhkan segala syahwat yang menawan hati nurani kita.

3. Apabila telah dapat masuk ke hadirat Allah, jangan biarkan hati kita berlumpur disebabkan kelalaian-kelalaian.

4. Untuk mendapat dan memahami ilmu ketuhanan yang demikian halus, wajib sentiasa bertaubat dari segala dosa yang dikerjakan samada sengaja atau tidak sengaja.


Mudah-mudahan segala maksud kita untuk menjadi hamba-hamba Allah yang soleh tercapai dan diperkanankan oleh Allah Ta'ala yang Maha Pengasih dan Penyayang.


Amin...