Monday, December 13, 2010

Kalam Hikmah Ke 41 : Lari Dari Allah Adalah Ajaib dan Aneh

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Menurut Kalam Hikmah yang ke 41, Al-Imam Ibnu Atha'illah Askandary: "Betul-betul aneh pada orang yang lari dari sesuatu di mana ia tidak mungkin melepaskan daripadanya. Dan dicarinya sesuatu yang tidak kekal bersertanya, kerana bahawasanya hal tersebut bukanlah disebabkan buta penglihatan mata, akan tetapi disebabkan butanya hati yang terkandung di dalam dada."



Kalam Hikmah ini mengandungi pengertian-pengertian sebagai berikut :

# mengambil ganti kepada yang kurang daripada yang terlebih baik dan,

# memilih yang fana atas yang kekal dan,

# istighol pada yang dibatal dan,

# berpaling daripada TuhanNya kepada yang tiada hakikat baginya.


Sebagaimana yang kita ketahui bahawa ahli Sufi itu adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai pandangan mata hati yang bersih lagi tajam yang mampu untuk melihat dan membezakan sesuatu yang benar(Haq) dengan yang salah(batil). Tidak hairanlah pandangan(syuhud) dari mereka yang bermakrifat ini amat berbeza malah berlainan dengan kebanyakan manusia awam. Dalam kalam hikmah di atas, mereka cuba menyatakan kehairanan dan keganjilan yang berlaku pada kebanyakan manusia berkaitan dengan tindak-tanduk mereka.

Sesungguhnya setiap hamba itu tidak akan terlepas dari tuntutan dan hukuman Allah Taala kerana Allah lah yang menjadikan mereka dan telah mensyariatkan mereka dengan tanggungjawab mematuhi setiap hukum-hukum agama melalui Rasul-rasulNya.


Syariat itu adalah semata-mata untuk membawa hamba itu kepada mengenali KetuhananNya Yang Maha Agung dan Maha Sempurna. Dengan lain perkataan, mereka sentiasa diseru untuk mendekati dan bernaung di bawah limpahan kasih sayang Allah. Tetapi kebanyakan manusia tidak sedar tentang tuntutan syariat dan Rahmat Allah ini. Mereka lebih suka dengan perhiasan dunia serta makhluk ini sedangkan;

* dunia ini adalah sesuatu yang tidak kekal berbanding Allah Yang Qadim dan Baqa;

* dunia ini adalah sesuatu yang rendah berbanding Allah Yang menguasai keseluruhan Alam Nyata dan alam Ghaib;

* dunia ini adalah yang gelap(kerana hakikatnya tidak wujud) berbanding Allah yang bersifat An-Nur(kerana mempunyai hakikat wujud yang hakiki).

* akhirat itu adalah juga hamba berbanding Allah Yang menjadi Rab dan tuannya


Inilah satu keganjilan dan kehairanan bagi mereka yang mempunyai pandangan makrifat ini.

Bagaimanakah seseorang yang dikatakan berakal boleh memilih sesuatu;

* yang binasa (fana),
* yang rendah,
* yang kurang,
* yang lalai,
* yang bersifat kebinatangan (dengan semata-mata menurut nafsu syahwat),
* yang gelap dan;
* yang tidak mempunyai hakikat(termasuklah inginkan kebahagiaan akhirat)


dengan meninggalkan sesuatu;

* yang kekal,
* yang tinggi,
* yang lebih,
* yang istiqamah,
* yang bersifat keruhanian,
* yang bercahaya dan,
* yang hakiki?


Bukankah ini menunjukkan sebagai sesuatu yang 'ajaib atau pelik bagi orang-orang yang mempunyai akal? Seolah-olah seperti tidak berakal. Inilah sebahagian kecil dari maksud-maksud yang terselit dalam kalam hikmah di atas.


Dan kata setengah mereka(dari kalangan ahli sufiah), telah duduk(tinggal bersama) aku (dengan) seorang laki-laki (selama)tiga belas tahun dan sembahyang ia (laki-laki) pada tiap-tiap hari 1 000 rekaat hingga jadi ia tepok(tempang). Maka adalah apabila telah sudah Asar(Waktu Asar) maka "memakai habuah" dan berhadap ia (ke arah) kiblat, maka berkata ia; 'hairan aku bagi kejadian(makhluk) betapa berkehendak ganti padaMu(Allah) dan 'hairan aku bagi kejadian betapa jinak kepada (sesuatu) selainMu. Kemudian diam ia hingga masuk matahari.

[Maksud "memakai habuah" ialah duduk dengan mengangkat kedua lutut ke hadapan dada serta diikat ke sekeliling tubuh dan kedua betis kaki dengan kain seperti kain serban. ]


Dan kata Abu Sulaiman Ad-Daroni r.a;

"Jikalau dipilihkan(diberi pilihan) aku antara dua rekaat dan antara masuk Firdaus nescaya memilih aku memilih dua rekaat kerana bahawasanya (keinginan) aku pada syurga Firdaus itu (adalah dari kehendak dan pilihan) nafsuku dan pada dua rekaat itu pada Haq Tuhanku".


Dari kata-kata ini jelaslah bagi kita semua akan tujuan dan maksud golongan ahli-ahli sufiah dalam penyempurnaan ibadat dan perjuangan mereka. Sesuatu kemahuan yang baik sekalipun jika ianya terbit dari keinginan nafsu yang rendah, akan ditolak oleh mereka kerana kecenderungan ke arah itu menunjukkan belum bersih(ikhlas) pengabdiaan mereka kepada Allah. Tujuan mereka adalah Allah semata-mata, bukan kepada makhluk(syurga); jauh sekali kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan dunia yang lekeh ini.



Ya Allah...rezekikanlah kami dengan kurniaMu Yang Maha Sempurna sebagaimana yang Kau berikan kepada mereka yang diterangi dengan cahaya NurMu Yang Maha Agung.


Ketahui olehmu bahawasanya Qalbi menilik ia dengan Nur al-Iman. Maka apabila kuatlah cahaya iman, maka berolehlah cahaya mata dan jadilah hamba itu baik penglihatannya. Bersalahan yang kuat cahaya mata zhohir dengan wasitah(pengantara) berdirinya serta segala agyar dan bertambatan segala akuan. Maka dhoiflah cahaya mata hatinya dan terkadang membawa yang demikian itu kepada jatuh dalam segala yang menyalah dan mengikut segala syahwatnya. Maka adalah yang demikian itu sebab buta mata hati seperti firman Allah Taala yang bermaksud;

"Maka bahawasanya tiada buta segala penglihatan mata mereka itu dan tetapi buta segala hati yang (ada)dalam segala dada mereka itu daripada mendapat segala Aqa'id (hakikat) dan inilah buta sebenarnya.

Maka hairan aku bagi orang yang berakal yang lari ia daripada TuhanNya dan orang yang ghofil(lalai) yang berhadap atas syahwat dan hawanya.


Baik penglihatan mata hati adalah berpunca dari kuat serta teguhnya keyakinan dan keimanan kepada Allah Taala. Telah dimaklumi bahawa keimanan itu adalah merupakan Nur atau "cahaya" yang membuka pandangan seseorang ke alam di sebalik sana(Alam Ghaib/Alam Tinggi/Alam Asror). Dengan bertambah kuatnya cahaya iman ini, maka sesuatu yang menjadi hijab dan rahsia malah "rahsia dalam rahsia" akan dapat dipandang oleh Qalb yang sebelum ini tertutup. Dengan itu orang yang melihat sesuatu dengan mata hatinya adalah mereka yang melihat dengan cahaya Ketuhanan kerana dengan cahaya ini sahajalah yang boleh menunjukki sesuatu yang Haq.

Bersalahan dengan mereka yang semata-mata melihat dan memandang sesuatu dengan mata zhohir atau mata kasar ini. Mengikut keterangan Imam Al-Ghazali mata zhohir itu mempunyai tujuh(7) kelemahan atau kecacatan berbanding dengan mata hati. Mata zhohir ini hanya melihat zhohir sesuatu benda/perkara sahaja yang penuh pula dengan agyar(sesuatu yang mengeruhkan hati dari hal-hal makhluk dan dunia) dan pandangan itu pula sentiasa bertambatan atau terikat dengan akaun (kejadian Allah yang paling kasar di alam zhohir ini).

Dengan keadaan diri, perhatian serta pandangan yang sentiasa bergelumbang dengan sesuatu yang zhohir serta kasar ini, maka bertambah lemah dan dhoiflah kekuatan cahaya mata hati. Keadaan mata hati yang lemah ini, tidak akan dapat melihat kebenaran atau sesuatu hikmah atau rahsia yang terpendam malah mungkin akan mudah terjerumus kepada pandangan yang salah dan sesat. Lebih teruk lagi jadilah pandangan itu pandangan yang mengikuti telunjuk atau runtunan nafsu syahwat semata. Keadaan ini banyak berlaku pada manusia zaman ini yang kuat dengan pegangan "materilistik" yang semata-mata meletakkan/menghakimi sesuatu itu berdasarkan kebendaan atau zhohir semata-mata.


Ya Allah....jauhilah dan lindungilah kami dari golongan mereka yang sesat lagi menyesatkan.


Bahawasanya orang yang tiada membaik sangkanya pada TuhanNya, nescaya lari ia daripadaNya(Allah) dan menuntut ia kepada lainNya. Dan demikian itu tiada faedah akan dia dan tiada terurai(lepas) baginya daripada TuhanNya dan tiada kekal baginya serta lainNya. Dan inilah hal kebanyakan manusia.


Kalam Hikmah di atas adalah sebagai menyatakan akan rahsia atau hikmah berbaik sangka kepada Allah. Puncanya adalah kerana lemahnya keyakinan dan keimanan kepada Allah sedangkan Allah itu sentiasa melimpahkan rezeki dan kasih sayangNya untuk semua hamba-hamba dan makhluk ciptaanNya.


Dengan iman yang lemah ini, maka berpalinglah mereka dari Allah dan memperhambakan diri mereka kepada dunia, kebendaan, makhluk, syaitan iblis dan nafsu syahwat mereka. Inilah hal atau keadaan kebanyakan manusia sekarang yang tertipu, yang lupa diri malah lupa bahawa mereka tidak bisa lepas dari Allah Taala walaupun dalam sedetik waktu.

Fikirkanlah dan renungilah hal dirimu dan keadaan Tuhanmu yang sentiasa Maha Meliputi .

Sunday, December 12, 2010

Kalam Hikmah Ke 48 : Tanda-tanda Kematian Hati Manusia

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Menurut Kalam Hikmah yang ke 48, Al-Imam Ibnu Atha'illah Askandary: "Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa."


Kalam hikmah ini kelihatan mudah untuk difahami, tetapi pengertiannya dalam dan penjelasannya tidak semudah kalam tersebut.


Setengah daripada alamat "mati mata hati" itu ketiadaan dukacita atas luput akan dikau daripada segala kebaktian dan meninggalkan menyesal atas barang yang telah engkau perbuat akan dia daripada wujud segala kesalahan.


Kalam Hikmah di atas cuba mendedahkan setengah atau sebahagian daripada tanda-tanda yang menunjukkan buta mata hati atau alamat seseorang itu memiliki mata hati yang mati. Antaranya ialah perihal seorang hamba yang tidak sedikit pun merasa dukacita atau bersedih apabila tertinggal sesuatu hak kewajiban yang perlu dilaksanakannya. Contohnya seperti seorang yang tidak merasa apa-apa perasaan rugi atau bersalah setelah tertinggal mengerjakan sholat kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja seperti mesyuarat atau sebagainya. Malah dibiarkan luput begitu sahaja dengan tidak ada usaha untuk segera mengqadakannya.


Lebih jauh daripada itu setengah daripada alamat keadaan hati yang mati dapat dilihat/ditilik pada tingkah laku seorang hamba yang sedikitpun tidak merasa menyesal bila terjatuh dalam dosa atau maksiat pada Allah malah ada setengah daripada mereka merasa seronok dan berbangga dengan dosa dan maksiat yang dikerjakan itu. Lebih parah lagi ada yang suka pula menonjol-nonjolkan dan memperagakan maksiat dan penderhakaan mereka itu untuk ditontoni atau diketahui oleh orang lain. Banyaklah contoh-contoh manusia sebegini dalam masyarakat kita hari ini; yakni masyarakat yang mengejar dunia yang "glamour" ; masyarakat yang berfahaman rasionalis dan materialis malah ada yang sampai menganut fahaman "matlamat menghalalkan cara" yang dipelopori oleh iblis laknatullah.


Demikianlah pengertian pertama yang boleh diambil kefahaman daripada Kalam Hikmah di atas khususnya ditujukan atau dimaksudkan kepada golongan manusia awam yang lalai, jahil lagi secara terang-terangan meninggalkan sesuatu kebaikan dan berebut-rebut dan berlumba-lumba pula mencipta, mencetus, dan melakukan dosa maksiat dan penderhakaan terhadap kemurniaan agama dengan mencabul dan memperkosa kemuliaan syariat Islam.


Pengertian yang kedua pula adalah ditujukan kepada golongan Salik yang sedang berjalan menuju Allah. Mata Hati yang hidup serta celik sangat diperlukan oleh mereka dalam meniti perjalanan mereka yang penuh dengan liku-liku, duri dan ranjau. Amalan-amalan Sunat atau Wirid-wirid yang khusus adalah merupakan kebaktian seperti yang terdapat dalam maksud Kalam Hikmah di atas. Jika terluput sesuatu amalan harian atau wirid-wirid yang selalu dikerjakan selama bertahun-tahun lamanya dengan kerana sesuatu perkara lain yang mendatangi dan segera mendatangkan rasa dukacita atau sedih; di samping bersegera untuk terus mengqadanya atau kembali bertawajjuh kepada Allah, maka itu alamat mata hati yang hidup dan celik. Sebab itulah wirid-wirid yang dikerjakan jika tertinggal kerana sesautu musyakkoh, ianya sunat diqadakan. Antara contohnya seperti Sholat Sunat Witir ,solat dhuha dan lain-lain.


Sebaliknya jika seorang Salik yang tidak merasa dukacita kerana terluput wirid hariannya atau segera menyesal bila berlaku pelanggaran dosa-dosa batin, maka ini menunjukkan hati yang sebelum ini hidup sedang sakit dan ada tanda-tanda untuk buta atau terus mati.


Tidak sedih kerana tidak berupaya/berkesempatan melakukan amalan sunat; itu tanda hati mati. Tidak menyesal dan segera bertaubat bila timbul rasa ujub dan riya dalam amalan, itu tanda hati mati. Inilah sebahagian daripada makna-makna yang terhimpun dari kalam hikmah di atas. Guru suluk dalam usaha untuk menjelaskan perihal hidup dan matinya hati telah memetik kata-kata yang tersebut dalam Kitab Syarah Hikam sebagaimana berikut;


Mati itu adalah kerana tiga perkara iaitu;

1. Hubbul Dunia (Kasihkan Dunia)

2. Lalai daripada ZikiruLlah (meningati Allah)

3. Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah.



Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu;

1. Zuhud dengan dunia

2. ZikruLlah

3. Bergaul atau berkawan dengan Aulia Allah.


Bagi yang benar-benar beriman kepada Allah, hatinya pasti hidup dan tidak mati. Artinya dalam hatinya terkumpul 2 hal:

a) Perasaan takut kepada Allah SWT, kalau-kalau Tuhan bertindak apakah amal ibadahnya tidak diterima oleh Allah atau dosa-dosa tidak diampunkan oleh Allah. Dan ini menjadi buah fikirannya. Sebab itu ia berhati-hati sekali bagaimana ia menjauhkan segala yang tidak diredhai Allah SWT.

b) Perasaan yang selalu mengharap rahmat Allah SWT dengan pengertianmudah-mudahan Allah Ta'ala mengampunkan dosa-dosanya atau dengan pengertian lain, semoga dia tidak putus asa dengan rahmat Allah SWT. Perasaan takut dan mengharap rahmat menurut ulama' Tasawwuf, Abu Ali Ar-Ruzbary adalah laksana 2 sayap burung, apabila sama kedua-dua sayapnya, maka burung itu baik dan sempurna apabila ia terbang. Dan apabila salah satu dari dua sayapnya kurang atau cedera, maka terjadilah kekurangan pada burung itu sehingga ia tidak dapat terbang. Dan apabila hilang kedua-dua sayapnya, maka jadilah ia burung yang mati, tidak ada artinya sama sekali.



Kesimpulan :

Hati yang mati adalah hati yang tidak gundah, apabila tidak mengerjakan sesuatu yang mendatangkan keredhaan Allah, dan tidak menyesal pada waktu menghadapi dan mengerjakan larangan-larangan Allah.


Hati yang hidup mengandungi Nur Illahi, tetapi nur-nur Tuhan pada umumnya tidak dapat dirasakan dan ditangkap oleh perasaan, apalagi oleh pancaindera disebabkan masih banyak debu-debu pada hati yang merupakan hijab dan dinding yang masih tebal dan gelap antara kita dengan Allah SWT.


Hanya tanda-tandanya sahaja yang dapat dilihat dan dirasai iaitu timbul rasa gembira dalam hati apabila mengerjakan yang ketaatan dan timbul perasaan gundah dan takut di dalam hati apabila mengerjakan maksiat.


Mudah-mudahan kita selalu dipimpin oleh Allah SWT dan jadilah kita hendaknya rang-orang yang betul-betul beriman kepada NYA, sehingga hati kita sentiasa hidup di dalam mengerjakan keredhaanNYA.


InsyaALLah, wana'udzubillah.