Sunday, March 29, 2009

Kalam Hikmah ke 8: Terbuka Jalan Makrifat Kepada Allah

Kalam Hikmah yang ke 8; Imam Ibnu Athaillah Askandary bermaksud;

"Apabila Allah membukakan bagi anda jalan untuk mengenal- Nya, maka janganlah anda ambil peduli tentang sedikit amalanmu, karena Allah SWTtidak membukakan jalan tadi bagimu selain Ia-Nya Allah berkehendak memperkenalkan (DzatNya atau sifat-sifatNya) kepadamu."

Sesungguhnya berkehendak 'memperkenalkan DzatNya' kepada manusia pilihan adalah merupakan anugerah Allah.

Segala amal-amalan yang kita lakukan adalah untuk Allah , dan dimanakah fungsi pemberian anda kepada Allah apabila dibandingkan pada apa yang didatangkan Allah atas kita?

Kalam Hikmah ini mengandungi pengertian tentang tujuan kita selaku hamba Allah dalam perjalanan kepada Allah dengan mengerjakan amal ibadah sebagai yang dikehendaki dalam ajaran agama Islam. Maka dijelaskan seperti berikut:

1. Hamba-hamba Allah yang mengerjakan amal ibadah dengan sebanyak mungkin, tujuannya agar sampai kepada Allah dengan perasaan sepenuh hati dan perasaan mengenal Allah. Apabila kita tekun dan sabar mengerjakan amal ibadah, lama-kelamaan, insyaAllah pintu hati kita dibukakan oleh Allah SWT untuk mengenal (makrifat) kepadaNya.

Makrifat kepada Allah ialah kita merasakan bahawa Allah “ADA” di mana saja kita berada. Allah melihat hal keadaan kita. Dan pula perasaan kita yang bercampur dengan aqidah yang mendalam bahawa tidak ada yang berbuat dan berkuasa selain hanya Allah SWT. Di mana sahaja kita berada, Allah selalu bersama kita. Segala perbuatan dan tindak-tanduk kita dilihat oleh Allah.

2. Apabila aqidah dan perasaan kita telah mendalam , kadang-kadang ada juga waktu-waktu tertentu amal ibadah yang dilakukan itu berkurangan di kerjakan seperti sebelumnya. Tujuan amal ibadah yang dikerjakan adalah untuk dapat hamper kepada Allah, sedang terbuka jalan seperti yang telah dianugerahkan Allah kepada kita adalah bukti yang nyata, bahawa kita mulai dekat kepadaNya, dan kita akan menjadi sebahagian hamba-hamba yang dikasihi olehNya. Kemungkinan terjadi sedikit amal ibadah yang dikerjakan disebabkan penyakit yang ada pada tubuh badan kita, tetapi apabila makrifat kita kepada Allah sudah begitu mendalam, maka kita mengetahui dengan rasa yakin bahawa sakit itu lebih baik dari sihat, karena kita dalam sakit boleh meningkatkan hal keadaan kita untuk lebih dekat kepada Allah daripada sihat, yang mana kita akan jauh daripadaNya. Oleh sebab itu, meskipun sedikit amal ibadah yang dikerjakan, tetapi hati terus mendekat kepada Allah, sehingga terbukalah makrifat kita kepada DzatNya dan sifat-sifatNya dalam kita melihat alam makhluk dunia ini.

3. Ketahui lah, bahawa Allah membuka jalan makrifat untuk dapat kita kenal Dia (Allah), adalah merupakan kehendakNya, semoga dengan kurniaNya kita dapat dekat dengan Allah. Terbuka segala sifatNya dan termakan pengertian asmaNya dalam hati dan perasaan tubuh
Jasmaniah kita. Terbuka jalan ini adalah lebih besar nilainya daripada amal ibadah yang banyak, tetapi sunyi atau sedikit sekali makrifat kita kepada Allah SWT. Bandingkan antara nikmat yang maha besar ini dengan amal ibadah yang kita kerjakan. Segala amal ibadah yang kita lakukan dipersembahkan kepada Allah dan dengan kurniaNya, Allah memberikan pula kepada kita nikmat makrifat dimana kita kenal Allah dalam erti yang
Lebih luas dan mendalam. Hamba Allah yang soleh mempunyai pendirian, bahawa pemberian si hamba kepada majikan adalah dianggap kecil, apabila dibandingkan dengan pemberian majikan kepada hambaNya.

Kesimpulan.

Selaku hamba Allah, biar amal ibadah kita sedikit, asal saja makrifah Allah bersemayam di dalm hati dan diri kita. Ini adalah lebih bagus, daripada amal ibadah yang banyak tetapi hati lalai kepada Allah, Tidak sejalan antara ibadah yang kita kerjakan dengan hati kita sendiri. Sebab itu maka Allah mencela dan memandang rendah orang-orang yang mengerjakan solat tetapi hatinya tidak kepada Allah,
Sebagai mana firmannya dalam al-Quran surah Al-Maa’un: ayat 4-6, bermaksud;

“Sebab itu celakalah orang-orang yang sembahyang, Dimana mereka lalai dari solatnya.Mereka mengerjakan kebaikan supaya dilihat orang.”

Apabila kita diberikan oleh Allah sebahagian nikmat makrifat kepadaNya, maka hendaklah selalu kita hadapkan hati kita kepada Allah dalam erti yang luas. Sebab Dialah yang maha berkehendak. Maha berkuasa, Maha Pengasih, Maha Penyayang dan lain-lain sebagainya dari sifat-sifat Allah
Yang Maha Agung dan tak terhingga jumlahnya.

Dengan demikian, Allah akan menambah hamper kita kepadaNya dan mementingkan kita dalam segala hal yang kita hadapi. Oleh kerana itu maka hamba-hamba Allah yang ‘Arif kepadaNya kadang-kdang kita lihat amal lahiriah mereka sedikit, tetapi rupanya yang sedikit itu nilainya
Adalah lebih besar di sisi Allah SWT.

Kalam Hikmah ke 7: Yakinlah pada Janji Allah

Kalam Hikmah Imam Ibnu Athalillah Askandary yang ke7;bermaksud:

"Jangan anda diragukan pada janji Allah oleh (sebab) tidak (belum) terjadi sesuatu yang dijanjikan, meskipun zaman nya telah tertentu. Hal ini supaya jangan ada keraguan itu (menimbulkan) kerosakkan pada matahati dan memdamkan nur cahaya rahsia hati anda."

Bagi hamba-hamba Allah SWT, yang selalu patuh dan taat pada menjalankan ajaran-ajaran agamanya, di dalam hidupnya pasti akan timbul sewaktu-waktu suatu "keputusan hati" atau dengan kata lain "ketetapan hati" pada sesuatu yang tidak bertentangan dengan agama.

Contohnya, ketetapan hati untuk berkahwin dengan seorang perempuan yang menurut kita adalah baik pada pandangan agama, untuk menjaga kita jangan sampai jatuh pada sesuatu yang tidak diridhai oleh agama. Ketetapan hati yang kita buat adalah berdasarkan kepada dalil-dalil seperti petunjuk melalui mimpi yang bukan dikacau atau diganggu syaitan dan Iblis. Seseolah mimpi itu datangnya dari Malaikat.

Cuma yang terang hal keadaan itu kita terima dari hamba Allah yang soleh dan taat, ataupun keputusan hati itu datang dengan perantaraan ilham yang betul-betul dari Allah SWT.

Apabila keputusan hati atau ketetapannya datang seperti di atas, tetapi kenyataannya bahawa yang terjadi tidak seperti demikian, atau betul terjadi tetapi meleset dari waktu yang ditetapkan, maka dalam hal ini, kita mesti yakin dan tidak boleh ragu-ragu pada janji Allah. Janji Allah adalah benar, cuma belum sampai masanya.

Allah belum mahu menyampaikan janjiNya, berkemungkinan salah satu daripada 3 perkara berikut:

1) Mungkin janji itu akan ditukar oleh Allah dengan sesuatu yang lebih baik menurut Allah, jika merujuk contoh yang diberikan, kita tidak diizinkan oleh Allah untuk berkahwin dengan "A", tetapi Allah merealisasikan janjiNya bahawa kita mengkahwinkan dengan "B".

2)Adakalanya janji Allah ditepati olehNya di akhirat, dengan menjanjikan hal keadaan ini sebagai pahala buat kita.

3) Janji Allah itu dilaksanakan juga olehNya, tetapi agak lambat dari waktu yang telah ditetapkan, oleh kerana mungkin saja Allah melaksanakan janjiNya ada pertalian dengan syarat-syarat atau sebab-sebab di mana kita tidak mengetahuinya sama sekali. Seperti contoh di atas, Allah melambatkan perkahwinan dengan "A" , kerana Allah menghendaki agar persiapan-persiapan kita telah begitu lengkap sebelum menghadapi perkahwinan. Allah SWT tidak memperlihatkan syarat-syarat untuk terlaksana janjiNya itu, tidak lain selain hikmah yang dikehendaki olehNya. Dan apabila kita menoleh pada hikmah tersebut, maka tentu saja dalam hati kita tidak timbul keraguan apa-apa tentang Allah melaksanakan janjiNya.

Wajib keatas kita selaku hamba Allah mengetahui dimana ukuran kita, yang dalam hal ini kita tidak boleh mendahului Allah, dan kita juga harus menjaga adab kita kepadaNya. Dengan demikian maka tenanglah hati kita, yakin dan tidak ragu-ragu atas keputusan hati dan ketetapanNya dimana telah kita anggap keadaan ini sebagai janji Allah. Apabila pendirian kita seperti ini, maka bererti aqidah kita terhadap Allah telah begitu mendalam dan pasti tidak akan tergoyang oleh apa pun. Maka barang siapa yang telah diberi hikmah oleh Allah seperti aqidah ini, nescaya orang tersebut telah dapat disebutkan dengan 'Aarif-Billah (yang betul-betul mengenal Allah), Saliimul Bashiirah (yang sejahtera katahtinya).

Tetapi jika pada hamba Allah itu tidak ada dalam keyakinannya seperti yang telah disebutkan tadi, maka tentu saja orang tersebut adalah tidak mengetahui Allah, matahatinya rosak dan hatinya penuh dengan kegelapan yang bermacam-macam.

Demikian lah erti kalam hikmah di atas, dan mudah-mudahan menjadi petunjuk buat kita dalam menghadapi berbagai permasalahan dalam hidup dan kehidupan ini. InsyaAllah.

Thursday, March 12, 2009

Kalam Hikmah Yang Ke 6 : Jangan Bosan Berdoa Kepada Allah SWT

Al-Imam Ibnu Athaillah Askandary berkata dalam Kalam Hikmahnya yang ke enam seperti berikut:

"Jangan ada kiranya lambat waktu kurnia (Allah SWT) disamping bersungguh-sungguh dalam
berdoa, menyebabkan putus harapan mu (kepada Allah). Kerana itu Allah SWT telah menjamin kepada mu pada meperkenankan doamu, pada apa yang dipilih oleh Tuhan untukmu, tidak pada apa yang kamu pilih sendiri untukmu."

Keterangannya adalah seperti berikut:

1. Kita selaku hamba Allah hendaklah berdoa dan memohon kepadaNya,sebab ini adalah petanda bahawa kita adalah makhlukNya yang tidak melepaskan diri daripadaNya. Barang siapa yang tidak berdoa kepada Allah, dia tergolong orang-orang yang sombong. Firman Allah di dalam Al-Quran, surah Al-Mukmin ;ayat 60 bermaksud:

" Dan Tuhan kamu berfirman : berdoalah kepada ku, nanti Ku perkenankan (permintaan) kamu itu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan dirinya dari menyembahKu, akan masuk neraka jahanam dengan kehinaan."

Kita harus berdoa kepada Allah dan Allah akan meperkenankan doa kita. Kita boleh memohon sesuatu kepadaNya, tetapi Tuhanlah yang berhak menentukan pada apa yang kita pilih. Sebab kita tidak mengetahui apakah sesuatu yang kita pohon itu, adakah baik disisi Allah atau tidak.

Kita boleh berdoa agar permintaan kita itu diperkenankan Allah pada waktu yang kita tentukan, tetapi Allah lah  yang berhak dan berkuasa untuk memperkenankan doa kita itu diwaktu yang dikehendaki oleh Allah, bukan pada waktu yang kita kehendaki. Kenapa ini berlaku? Kerana kita tidak mengetahui adakah doa kita itu baik disisi Allah atau tidak.  Mungkin menurut pendapat kita doa itu baik, tetapi menurut Allah ada yang lebih baik lagi, atau yang doa tadi tidak baik sama sekali kepada kita. Demikian sebaliknya, menurut kita doa itu itu tidak baik, tetapi Allah menganggapnya baik. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 216:

"....Dan boleh jadi kamu kurang menyukai sesuatu sedangkan ia amat baik untukmu, dan boleh jadi(pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Tuhan mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."

Yang dikatakan doa kita mustajab apabilanTuhan memperkenankan doa kita itu dengan RidhaNya dan pilihanNya, bukan pilihan kita dan pada waktu yang Ia kehendaki, bukan pada waktu yang kita kehendaki.

Keadaan ini serupa dengan amal ibadah yang kita lakukan, kebagusan ibadah kita dilihat diakhir hayat kita samada mati dalam husnul khatimah atau suul khatimah. Dan kita berlindung kepada Allah dari doa yang mengakibatkan keburukan di akhir hayat kita.

Saturday, March 7, 2009

Kalam Hikmah 5: Tanda-tanda tertutup matahati

"Kegiatan anda pada menghasilkan sesuatu yang telah terjamin untuk anda, disamping itu anda meninggalkan sesuatu di mana anda telah dituntut (diperintahkan pada mengerjakannya) adalah menunjukkan atas (telah) butanya (tertutup) matahati anda."

Dalam penghuraian kalam hikmah Imam Ibnu Athaillah Askandary di atas,akan terjumpa perkataan berikut:

Ijtihad : takrifan ijtihad di sini adalah dari pegertian tasawuf, 'bersungguh-sungguh atau giat tanpa kenal letih dan lelah, di mana seluruh kekuatan kita diarahkan untuk memperolehi sesuatu yang tertuju.'

Taqshir : meninggalkan sesuatu yang dimaksudkan disebabkan kelalaian dan kurang perhatian. Atau tidak mengerjakan sesuatu dengan sempurna sesuai seperti apa yang dikehendaki tentangnya,tegasnya mengerjakan sesuatu setengah-setengah tanpa perhatian yang bulat.

Al-Bashiirah : matahati; sesuatu yang disebut dengan mata di dalam hati yang dapat menangkap segala sesuatu yang sifatnya maknawiyyah (yang tidak dapat ditangkap oleh pancaindera yang lima atau sebagainya).

Al-Bashar : mata jasmaniah dapat melihat menggunakan organ mata.

Perbezaan antara Al-Bashiirah dan Al-Bashar ialah: mata dapat melihat apa yang kita lihat,
tetapi matahati melihat sesuatu yang mata kita tidak nampak.

Kalam hikmah ini memberikan pengertian bahawa jangan kita mementingkan diri dalam mencari rezeki yang telah dijamin oleh Allah.

Kita boleh berusaha mencari rezeki yang halal, tetapi jangan sampai lupa diri, sehingga seluruh penghidupan tertumpu kepada urusan duniawi sahaja. Apabila tumpuan kita hanya terhadap duniawi sahaja pasti akan mengakibatkan kurang kesungguhan untuk melaksanakan kewajiban-kewajiban terhadap ajaran agama.

Sedangkan Allah SWT dengan kurniaNya dan kebaikkanNya telah menjamin rezeki hamba-hambaNya, seperti dalam firmanNya dalam Al-Quran surah Al-Ankabut, ayat 60; bermaksud

"Dan berapa banyaknya binatang yang tidak membawa rezekinya sendiri, Tuhan yang memberinya makan dan (juga) memberi kamu, dan Dia Maha Mendengar dan Maha Tahu."

Firman Allah dalam Al-Quran, surah Thaha ayat 132 bermaksud;

"Dan suruhlah pengikutmu bersembahyang dan tetap mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (hanya) Kami yang memberi kamu rezeki dan akibat (yang Baik) adalah untuk ( orang yang) memelihara diri dari kejahatan."

Dua ayat ini memberikan pengertiankepada kita bahawa dalam masalah rezeki,kita tidak boleh susah. Sebab telah ada jaminan Allah SWT,asalkan kita terus berusaha dan berikhtiar dengan ketentuan dari tingkatan-tingkatan masing-masing.

Apabila masalah dalam mendapat rezeki telah sempurna jalannya, maka imbalan daripada itu, Allah SWT menuntut kita untuk melaksanakan amal ibadah berupa kewajiban-kewajiban kita terhadap Allah SWT dan mengerjakan amal-amal kebajikan. Dengan beramal ibadah,  kita akan dapat sampai kepada kebahagiaan di akhirat yang kekal - baqa'. Dan dengan beramal ibadah juga kita akan dapat mendekati Allah, seperti Firman Allah di dalam Al-Quran, surah Adz-Dzaariyat, ayat 56 yang bermaksud :

"Tidak aku ciptakan jin dan manusia selain supaya mereka itu berta'abud (mengabdikan diri) kepadaKu"

Kemudian dalam surah yang sama ayat 57-58, bermaksud:

"Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun dari mereka dan Aku tidak menghendaki mereka supaya mereka memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah, Dia adalah Maha Pemberi rezeki, Yang Mempunyai Kekuatan yang teguh (luar biasa)."

Dari ayat di atas jelas menunjukkan Allah tidak ada keperluan dari kita sebagai makhlukNya, sebaliknya kita yang memerlukan pertolongan Allah. Allah menciptakan manusia dengan hikmah agar manusia pandai bersyukur dan berterima kasih kepadaNya dengan jalan beribadah. Mematuhi segala perintah-perintahNya dan meninggalkan laranganNya.
Sebab itu makin banyak kita beribadah, makin kita terasa kemanisannya.

Tanda-tanda orang yang tenggelam dalam berusaha pada apa yang telah dijamin oleh Allah, ialah:

a) Atta'assufu 'Alal Ghaa'ibi.

Yakni timbul penyesalan, apabila sesuatu yang telah diberikan oleh Tuhan dicabut kembali olehNya, samada dengan jalan hilang  dicuri orang, dibinasakan dengan datangnya banjir, gempa bumi, tsunami atau musnah ditelan api dan sebagainya.

b) Faqdut - Taqwaa Fit - Tahshiili.

Yakni tidak ada taqwa dalam hati didalam mencari rezeki. Pendeknya asal dapat wang, halal haram tidak dikira.

c) Alghaflatu 'Anil Huquuqil Muta'akkidati Fis - Sababi.

Yakni lalai dalam masa mencari rezeki hingga mengabaikan kewajiban diri seperti menunaikan solat, berpuasa dan lain-lain lagi.

Sebab itu kita sepatutnya merasa bimbang sekiranya apabila rezeki bertambah, kita semakin sibuk hingga kadang-kadang solat terpaksa ditangguh dan dilenggahkan. Mula-mula kita lewatkan, lama kelamaan dengan kesibukkan menerima rezeki yang makin melimpah, solat mula ditinggalkan. Bukan sesuatu  kenikmatan yang kita dapat sekiranya anugerah rezeki yang banyak dari Allah, tetapi dalam masa yang sama kewajiban diri kita tinggalkan. Berhati-hatilah...
Selalu muhasabah diri....

Tanda-tanda hamba Allah yang tidak tenggelam di dalam apa jua urusan hidup dan kehidupan:

a) Ar-Ridhaa Bil Waaqi'i

Yakni ridha pada apa yang terjadi. Apabila mendapat keuntungan besar, maka ia bersyukur kepada Allah SWT  dan apabila mendapat cubaan dan ujian, maka ia bersabar dan menyerahkan diriNya kepada Allah SWT.

b) At- Taqwaa Fith- Thalabi.

Yakni selalu taqwa kepada Allah dalam mencari rezeki yang halal. Bermaksud amat prihatin segala sumber rezeki yang diperolehi samada halal atau haram.

c) Hifzhul Adaabi Fil-Asbaabi.

Yakni selalu memelihara hubungan sesama manusia, menjaga adap sopan, berhemah dalam berkata-kata, tidak menfitnah, tidak sentimen (beremosi) dan merasa sakit hati dengan sesuatu yang bukan sepatutnya, tidak menganiya orang lain semasa  berusaha mencari rezeki yang halal.

Dengan ini jelaslah siapakah orang-orangnya yang diridhai oleh Allah didalam usaha dan ikhtiar mencari rezeki.

Kesimpulan:

Kalam Hikmah di atas menyarankan kepada kita, supaya tetap memelihara hati, agar selalu mendapat limpahan petunjuk dan tuntutan Allah dalam seluruh persoalan hidup yang kita hadapi. Dengan itu didalam kita berusaha dan berikhtiar mendapatkan rezeki yang halal, jangan sekali-kali kita lupa pada Allah dengan mematuhi dan mentaati segala suruhannya.
(Buat apa yang disuruh, tinggal apa yang dilarang).

Sebaliknya ini adalah dalil mata hati telah buta dan tertutup, sehingga kebenaran dan keadilan dalam arti yang luas, gelap dan tidak kelihatan. Kebahagiaan yang kekal abadi yang selalu menjadi cita-cita para hambaNya yang soleh akan sirna dan lenyap sama sekali. 
Na'udzubillahi min dzalik. 

Wednesday, March 4, 2009

Hak dan Kewajiban Allah dan Manusia

Seorang ahli Tasawwuf yang juga mufassir dan ahli hukum,
bernama Sahl bin Abdullah (Abu Muhammad Sahl bin Abdullah Tastury).
Beliau telah menghafal Al-Quran ketika berusia 7 tahun
dan meninggal dunia pada tahun 283 H.

Beliau telah berkata:

" Hak Allah untuk hamba-hambaNya ada 3 persoalan;

1) Menentukan hukum-hukumnya untuk dilaksanakan oleh hamba-hambaNya.

2) Menentukan tentang ajal (waktu mati) dari hamba-hambaNya dan

3) Menentukan segala sesuatu yang dihadapi oleh hamba-hambaNya
di dunia dan di akhirat."

Dan Hak hamba yang wajib dilaksanakannya untuk Allah ada 3 pula.

1) Mengikuti NabiNya.

2) Tawakkal dan menyerah diri kepadaNya dan

3) Sabar atas ketentuan-ketentuan Allah sehingga kita meninggalkan dunia yang fana ini.

Adapun pengertian " Hak Allah untuk untuk hamba-hambaNya", ialah tidak ada jalan bagi hamba-hambaNya untuk campur tangan pada segala sesuatu di mana hal keadaan ini Tuhan telah menetukan dengan kehendakNya dan kekuasaanNya.

Adapun pengertian " Hak hamba untuk Allah", ialah bahawa hamba-hambaNya diperintah oleh Allah untuk menjalankan hal-hal di atas. Barang siapa yang melaksanakan hak-hak kewajibannya, maka sejahteralah matahatinya, bersinarlah jiwanya, akal dan kalbunya dengan rahmat Allah SWT.

Tuesday, March 3, 2009

Kalam Hikmah ke 4: Pedoman Manusia Dalam Mengatur Hidupnya. :

" Tenangkan jiwamu dari Tadbir, kerana apa yang telah berdiri dengannya(telah mengatur padanya) oleh selainmu tentang hal keadaanmu, maka janganlah engkau campur tangan pada sesuatu itu untuk (kepentingan) dirimu."

Penjelasan Kalam Hikmah di atas sebagai berikut:

1) Terlebih dahulu perkataan 'Tadbir' ini perlu di fahami. Definisinya:

" Bahawa menetukan seseorang pada dirinya hal-hal dimana ia atas hal-hal tersebut berdasarkan atas kehendak syahwatnya semata-mata. Untuk itu maka diaturnya segala sesuatu menurut syahwatnya,berupa teori dan pratikal. Dan dia sendiri memberikan perhatiannya dan mementingkannya(dalam segala gerak-geri dan tindak tanduknya)."

Dari definisi di atas pengertian Tadbir adalah khusus dalam persoalan- persoalan yang bersifat duniawi semata-mata. Kita telah mengetahui dan menyakini bahawa segala-galanya adalah menurut qadha'-qadar Allah SWT.

Tadbir ialah merencanakan sesuatu yang bersifat memutuskan tanpa tawakkal dan menyerah diri kepada Allah SWT. Ini adalah tidak baik.
Tetepi sekiranya Tadbir itu disertai dengan Tawakkal dan tafwidh(penyerahan) kepada Allah, maka tidak apa-apa, bahkan dianjurkan oleh Islam.

Bersabda Nabi Muhammad SAW:
" Tadbir, ialah setengah dari penghidupan."

Menurut setengah ulamak: meninggalkan Tadbir yang begini sifatnya berarti meninggalkan penghidupan seluruhnya. Sebab orang yang tidak bertadbir, maka ia akan digilas oleh Tadbir orang lain.

Mengapa harus menyerah diri kepada Allah disamping Tadbir? Sebab apabila kita telah beriman kepada qadha dan qadar Allah SWT, maka hakikatnya Allah telah mengatur segala-galanya.
Tetapi apabila kita berfikiran sempit, dan melihat hanya sepintas lalu, maka keadaan ini menjatuhkan diri kita dari mengatur hidup ini secara baik sesuai dengan keridhaan Allah.

Apabila kita hanya berpangku tangan tanpa merancang sesuatu dalam hidup, kita akan menjadi malas untuk berusaha dan bekerja. Disebabkan kemalasan ini akan mendatangkan berbagai masalah dalam kehidupan, maka tanpa disangka datanglah pula syaitan dan iblis membawa rasa was-was dan keraguan-keraguan di dalam hati. Ia akan menghembuskan macam-macam persoalan dalam kehidupan kita dan secara tidak langsung fikiran kita akan menerawang dan memikirkan perkara-perkara yang bukan-bukan.

Supaya jangan sampai berfikiran begitu,kita perlu banyak berzikir kepada Allah dalam erti yang luas seperti membaca Al-Quran dengan khusyuk dan tadabbur, taubat dan istigfar di waktu malam, muraqabah kepada Allah SWT. Muraqabah ialah dimana kita melihat Allah yang tidak ada umpama dengan sesuatu, atau Allah melihat kita dalam segala gerak-geri kita.

Apabila kita melakukan ini dengan istiqomah,InsyaAllah segala was-was syaitan dalam hati akan dikeluarkan oleh Allah SWT. Otak dan hati akan terang, tidak kusut dan letih memikirkan segala sesuatu yang kita hadapi dalam hidup dan kehidupan.

Barang siapa yang tidak bertawakkal kepadaNya berarti dia tidak memerlukan bantuan Allah SWT dalam hidup dan kehidupannya.

Peringatan untuk diri:

Dalam ilmu tasawwuf, orang yang tidak bertawakkal kepada Allah menganggap seseolah Allah itu tiada, bila Allah tiada;
  • apa perlunya hukum Allah,
  • apa perlunya melaksanakan segala hukum-hukum Allah.
  • apa perlunya buat apa yang Allah suruh dan tinggal apa yang Allah larang.

Inilah kesannya jika orang itu tidak mahu bertawakkal kepada Allah.

Monday, March 2, 2009

Doa ku

Ya Allah...
bagiMu segala puji,
Engkau pencipta langit dan bumi serta segala apa yang ada didalamya,
bagiMu segala puji,
Engkau Maharaja di langit dan bumi serta yang ada didalamnya,
BagiMu segala puji,
Engkau cahaya di langit dan bumi serta yang ada didalamnya,
BagiMu segala puji...

Engkau Maha Benar,
JanjiMu benar,
Pertemuan denganMu benar,
PerkataanMu benar,
Syurga dan NerakaMu benar,
Para nabi-nabiMu benar,
Nabi Muhammad s.a.w benar,
dan hari qiamat benar,

Ya Allah,
kepadaMu aku menyerahkan diri,
kepadaMu aku beriman,
atasMu aku bertawakkal,
kepadaMu aku kembali,
bersama-samaMu aku menghadapi musuh,
dan dihadapanMu aku akan diadili,
ampunilah dosa-dosaku yang telah lalu
dan dosa-dosa yang akan datang,
dosa yang aku sembunyi dan dosa yang aku nampakkan,
dosa yang aku ketahui atau yang tidak aku sedari,
dan dosa yang hanya Engkau yang mengetahuinya,
Engkau yang tidak berawal dan berakhir,
Tiada yang patut disembah selain Engkau,
Tiada padaku daya dan kekuatanMu,
Ya Allah Tuhan ku yang Maha Tinggi dan Maha Besar.

Doa ku


Wahai Allah,
Sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang aku rahsiakan
dan apa yang aku nyatakan,
Semoga Engkau terima keuzuranku,
Engkau mengetahui hajatku,
Semoga Engkau kabulkan permohonanku,
Engkau mengetahui dosa yang ada dalam diriku,
Kerana itu aku mohon keampunan Mu,

Wahai Allah,
Aku meminta kepadaMU,
keimanan yang kukuh dihatiku,
dan keyakinan yang benar-benar,
sehingga aku mengetahui tidak ada apa yang menimpa diriku
kecuali apa yang telah ditakdirkan untuk diriku,
dan semoga Engkau jadikan diriku
selalu meredhai apa yang ditakdirkan kepadaku,
Wahai Tuhan Yang maha Besar dan Maha Mulia.

Doa ku

Maha suci Allah,
Sepenuh timbangan,
Sejauh ilmu,
Sebanyak keredhaan,
Setimbang Arasy,
Tidak ada tempat berlepas dan bersandar,
hanya kepada Allah yang Maha suci,
Allah Yang Tunggal dan tiada yang sejodoh denganNya,
Yang kuasa hanya Engkau Yang Maha Tinggi dan Maha Besar,
Cukuplah Engkau tempat ku berpegang,
Engkau sebaik-baik tempat ku berpegang
dan tempat ku meminta pertolongan.

Cinta Hakiki


Telah lama cinta terbiar,
dari cinta yang suci,
Telah lama cinta tersasar,
Dari cinta hakiki...

kerana sekian lamanya,
manusia dibuai cinta nafsu,
kita sering menyangka,
cinta manusia itu yang sejati.

Namun lupakah kita,
Cinta nafsu,
Selalu mengecewakan,
Sering berubah tidak menentu,
seperti pantai dipukul ombak.

Cintakan Allah cinta sebenarnya,
Itulah cinta yang sejati,
Kasihlah sesama manusia,
Kerana cinta yang hakiki,
Hanya untuk tuhan yang Esa.

Cintakan Allah tiada kecewa,
Engkaukan tenang diwaktu susah,
Kembalilah kepada tuhan,
Ia akan tetap menanti,
Kehadiran hambaNya,
yang sebenar pasrah,
Cinta kasih sayangnya,
Tidak bertepi.