بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Disiplin dalam atau batin atau spritual ini terbahagi kepada 3 bahagian juga iaitu: Disiplin Hati, Disiplin Akal dan Disiplin Nafsu.DISIPLIN HATI
Hati adalah tempat untuk rasa bertuhan, rasa kasih sayang, rasa pemurah, rasa takut, rasa gerun, rasa cemas dan ribuan lagi rasa.terlalu banyak rasa. Hati sangat sensitif, sangat seni dan di situ jugalah kita sebut "Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih". Hatilah yang mencorakkan kehidupan manusia.
Rasulullah SAW ada menyebut, "Dalam diri manusia ada seketul daging, kalau baik daging itu baiklah seluruh kehidupan manusia, kalau jahat maka jahatlah kehidupan manusia itu, ketahuilah kamu itulah hati". Kalau seorang itu, lahirnya jahat maka jahatlah hatinya. Mengapa seorang itu jadi jahat, mestilah ada sebabnya.
Bagaimana nak mendisiplinkan hati?
Cara yang pertama ialah kita kenalah menajamkan Rasa Bertuhan. Apabila manusia ada rasa bertuhan, ia tidak mudah putus asa atau kecewa walaupun orang kafir, cuma lebih elok kalau dia beriman. Untuk ada rasa bertuhan kita mesti kenal Tuhan. Kalau kita tak kenal Tuhan tetapi lebih kenal kuman, batu, kayu katak dll, ini dah kira parah. Macam mana nak kenal dan percaya Tuhan? Kena belajarlah. Kita kena percaya Rukun Iman yang 6 tanpa dicelah oleh jahil, syak, zan dan waham. Orang yang digelar beriman ialah orang yang percaya dan yakin 100%.
Jahil maksudnya golongan tak tahu atau tak berilmu tentang hal-hal iman.
Syak pula golongan yang percaya dan yakin 50%, tak yakin 50%. Akhirat ini ada ke tidak? Kalau tak ada macam mana? Kita bahas ikut logik akal, bukankah elok kita buat baik di tengah manusia dan tak rugi juga sekiranya Akhirat itu tak ada. Kita mesti yakin Akhirat itu ada, dan kita juga selalu berdoa minta kebaikan untuk dunia dan akhirat. Kalau betul-betul Akhirat itu ada kita tak rugi sebab kita dah berbuat. Kita tak buat baik sebab kita rasa Akhirat itu tak ada, kemudian Akhirat itu betul-betul ada, kan kita dah rugi dan tak boleh balik ke dunia untuk buat baik lagi!
Zan pula golongan yang percaya 75%, tak yakin 25%.. dia percaya semua rukun Iman cuma dia tak yakin tentang qadak dan qadar, dia tak yakin tentang rezeki, takut masa depan yang susah, takut sakit hingga kena beli insuran dan sebagainya.
Waham pula golongan percaya 25%, tak yakin 75%. upacara nikah kahwin, kematian, naik haji, sembahyang sunat hari raya itu semua dia percaya. Tetapi dia berpendapat orang sembahyang ke tak sembahyang semua sama sahaja, tak sembahyang pun tak apa, entah Tuhan ada ke tidak!
Rukun Iman ada 6:
Percaya kepada Allah. kita kena belajar ilmu ketuhanan, ilmu rasa namanya.
Percaya adanya Malaikat, tentera-tentera Allah yang kita tak nampak tetapi ada. Musnah iman kita kalau kita tak percaya.
Percaya kpd Kitab-kitab Allah
Percaya kpd Nabi dan Rasul-Rasul dan menjadikan mereka idola dan suri tauladan kita. Kalau kita nak berjuang menegakkan kalimah Allah kenalah kita ikut mereka.
Percaya kpd hari Kiamat. Kalau tak adalah hari Kiamat seperti yang disebutkan Tuhan sudah tentu beruntunglah orang-orang yang buat jahat di dunia ini.
Percaya kpd Qadak dan qadar Allah.
Cara yg kedua untuk mendisiplinkan hati ialah menebalkan rasa kehambaan kita. Selagi kita tak kenal kita ini hamba Allah selagi itulah kita tak mempunyai disiplin hati. Kalau kita tak rasa yang kita ini hamba sudah tentulah kita ini rasa kita ini Tuhan. ini merbahaya. Untuk merasakan kita ini hamba kenalah selalu merintih kepada Allah, mengaku yang kita selalu buat silap. Walaupun kita tak buat silap, tetapi sebagai seorang hamba kita kena faham yang Allah suka mendengar hambanya merintih.
Sebagai manusia sememangnya kita tak lepas dengan sifat lalai dari mengingati Allah dan tak terlepas dari dosa maka cepat-cepatlah kita bertaubat dan minta ampun dari Allah. Sekiranya kita tak ada sifat hamba segala yang kita buat di dunia ini kita rasa yang kita yang punya, kita rasa kita yang memiliki. Seorang manusia yang sedar dirinya hamba, dia berasa tidak memiliki apa-apa pun tanpa keizinan Allah. kalau Allah tak jadikan dia manalah dia boleh hidup, oksigen
yang Allah beri secara percuma untuk bernafas pun kalau Allah tarik matilah kita.
Cara yang ketiga untuk mendisiplinkan hati ialah dengan menyucikan atau menghilangkan rasa cinta dunia. Dunia itu banyaklah, ada yang dapat, ada yang tak dapat dan ada yang terlepas. Cinta Allah itu adalah ibu segala kebaikan. Cinta dunia adalah ibu segala kejahatan.
Cara yang keempat pula ialah dengan memindahkan rasa bertuhan, rasa kehambaan ke dalam hati kita. Macam mana caranya? Katalah semasa kita sembahyang segala perbuatan yang kita lakukan adalah yang fizikal yang kena kita jaga disiplinnya juga, tetapi yang penting adalah apa yang kita rasa di dalam hati kita.
Macam mana kita nak hubungkan hati kita dengan Tuhan sewaktu itu sebab Tuhan itu bukan berketul dan tak boleh juga kita bayangkan Tuhan itu hijau atau kuning. itu semua tak boleh. Maknanya hati sewaktu sembahyang kena berdisiplin iaitu sentiasa ingat Tuhan. Ingat Tuhan itu bermacam-macam bentuk pula. ada rasa takut, sayu, sedih, rindu, malu dan bermacam-macam rasa lagi. Rasa-rasa ini sentiasa berpindah-pindah dan berubah. Macam warna langit yang sentiasa bertukar warna. kejap biru, kejap hijau, kejap kuning. Jadi sentiasalah hati itu tidak terlalai dari mengingati Allah, itulah dikatakan disiplin. Ini memang susah nak dibuat.
Katalah kita nak masukkan rasa malu di hati kita, cuba kita bayangkan segala nikmat Tuhan dalam diri, nikmat Tuhan diluar diri kita. Dia bagi kita semua anggota yang bermacam-macam, kita tak payah bayar pun. Allah beri kita rumah, isteri dan anak-anak, kereta dan bermacam-macam lagi. cuba kita tanya ini semua siapa yang punya, siapa yang bagi? Malu tak kalau hari-hari ada orang yang beri kita $10 setiap hari tanpa kita buat apa-apa. sekali dua boleh lagi tetapi kalau lebih 10 kali tentu kita naik malu. Nikmat oksigen juga dah cukup untuk membuat kita rasa malu dengan Allah. Jadi dalam nak mendisiplinkan hati kenalah dalam bentuk rasa dan pada peringkat permulaan kenalah kita menghitung-hitung.
Macam mana pula kita nak masukkan rasa takut di dalam hati kita? Allah boleh matikan dan hidupkan kita, Dia juga boleh sakitkan kita, Allah boleh miskinkan kita, macam-macam Allah boleh buat.
Rasa cemas macam mana pula? Sembahyang yang kita buat, segala ibadah
yang kita buat banyak-banyak itu adakah betul semua itu Allah terima? Adakah Allah terima taubat kita? Dosa kita dengan Allah adakah sudah diampun? Sebagai hamba Allah yang beriman kita yakin dengan sifat Allah yang Maha Pengampun, maka kita kena yakin Allah akan ampunkan dosa-dosa kita tetapi kita juga yakin dengan sifat Qahhar dan Jabbar Tuhan yang membuat kita rasa cemas dengan hukuman Tuhan.
Inilah ada-adab atau disiplin atau seni-seni hati yang kita perlu perolehi.
Artikel dari http://halaqah.net/v10/index.php
No comments:
Post a Comment