Wednesday, September 9, 2009

Kalam Hikmah Ke 10 : Ikhlas adalahJiwa Amal Ibadah Lahiriah

Menurut Kalam Hikmah ke 10 , Imam Ibnu Athaillah Askandary telah merumuskan sebagai berikut , yang bermaksud;

"Amal-amal lahiriah itu merupakan gambaran -gambaran (bentuk-bentuk) yang berdiri (tanpa nyawa), sedangkan arwahnya ialah keikhlasan yang terdapat dengan tersembunyi di dalam amalan-amalan itu."

Pengertian Kalam Hikmah ini dapat dilihat sebagai berikut:

i. Amal kebajikan apapun hanyalah laksana patung-patung kosong tanpa roh , tiada ertinya dan tidak bermanafaat sama sekali. Hanya amal ibadah yang mengandungi keikhlasan sahaja diterima oleh Allah SWT di akhirat nanti.

ii. "IKHLAS" mempunyai beberapa tingkatan:

a) Ikhlasaashul 'Ibaadi.

Maksud ikhlas ini yang terdapat pada sebahagian besar hamba Allah yang melaksanakan amal-amal kebajikan di mana bersih dari dalam hatinya penyakit riya'. Yakni ia beramal bukan mahu menunjuk-nunjuk, bukan ada maksud untuk duniawi seperti mahu dihormati orang atau sebagainya tetapi melakukan amalan dengan mengharapkan balasan pahala dari Allah SWT dan mohon dijauhkan oleh Allah dari segala azab siksa di dunia atau di akhirat. Ikhlas yang begini merupakan keikhlasan tingkat yang terendah dari semua tingkatan keikhlasan.

b) Ikhlasaashul Muhibbiina.

Keikhasan dalam tingkatan ini adalah di atas nilai keikhlasan Al-'Ibaad. Yang dimaksud dengan keikhlasan Muhibbiin ialah bahawa beramal ibadah itu bukanlah maksudnya kerana mendapatkan pahala Allah dan bukan juga untuk menjauhi dari seksaan dan azab , tetapi tujuan beramal ibadah itu semata-mata untuk membesarkan Allah dan mengagungkanNYA. Sebab itu wali terkenal Rabi'ah Al-'Adawiyah berkata , maksudnya; "Aku tidak menyembah Engkau (ya Allah) kerana takut dari nerakaMU, dan pula tidak menyembah Engkau kerana mengahendaki syurgaMU."

Keikhlasan ditingkatan ini tidak lagi dipengaruhi oleh hawa nafsu untuk dunia atau akhirat. Sekiranya masih lagi mengharapkan kesenangan dan kebahagiaan di hari akhirat maka keikhlasan ini belum mencapai ke tingkatan ikhlasaashul Muhibbiin.

Menurut bait syair Rabi'ah Al-'Adawiyah,

"Semua mereka menyembah Engkau (ya Allah) kerena takut pada neraka dan mereka melihat keuntungannya yang besar pada terlepas dari siksaan-siksaan.

Atau mereka bermaksud supaya dapat mendiami syurga-syurga, maka mereka beruntung mendiami istananya dan dapat minum salsabil air bening dari sungai syurga.

Tidak adalah arti keuntungan bagiku dengan mendapatkan syurga dan jauh dari neraka, kerana aku tidak menghendaki ganti (dengan apa pun saja) selain dengan cintaku ( kepada Allah SWT) "

c) Ikhlasashul 'Aarifiina.

Tingkatan keikhlasan tertinggi, merupakan keihklasan sejati yang tertinggi. Hamba Allah yang beramal diperingkat ini, mereka beramal sudah tidak lagi melihat kepada diri mereka, tetapi tertuju kepada Allah yang maha Esa, baik dalam geraknya ataupun dalam dalam diamnya. Btul-betul merasai pengertian hakiki seperti di dalam kalimat :

" tidak ada daya dan tidak ada kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Tinggi lagi yang Maha Agung."

Tujuan beramal di sini semata-mata untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT. Bermula Tashihul Iradah (memperbaiki tujuan hati supaya menjurus kepada Allah), meningkat kepada Lillaahi Ta'ala adalah sifat setiap ahli ibadah, tetapi ikhlas ditingkatan ini adalah Billaahi Ta'ala, sifat orang yang beribadah semata-mata menuju Allah.

Beza beramal Lillaahi Ta'ala ialah mendirikan dengan baik hukum-hukum lahiriah, dengan beramal Billaahi Ta'ala ialah mendirikan kebaikan yang terkandung dalam hati yang bersih demi untuk tujuan berhampir kepada Allah. Inilah yang dimaksudkan oleh ulamak sufi:

"Betulkan lah amalan anda dengan ikhlas dan betulkan lah keikhlasan anda dengan melepaskan diri dari daya dan kekuatan (makhluk)."

Kesimpulan:

Apabila kita ingin supaya amal ibadah kita diterima oleh Allah, maka ikhlas adalah roh dan jiwa dari amal-amal kebajikan. Allah akan menilai amal kebajikan kita dengan penilaian yang rendah, tinggi dan tertinggi sesuai dengan dangkal dan dalamnya keikhlasan kita dalam beribadat.

Beramallah dengan ikhlas. itulah yang diperintah Allah kepada seluruh hambaNya, sebagaimana firmanNYA di dalam Al-Quran bermaksud :

"Dan mereka hanya diperintahkan untk menyembah Allah dengan tulus-ikhlas, beragama untuk Allah semata-mata, berdiri lurus menegakkan sembahyang dan membayar zakat, itulah agama yang sebenar-benarnya." ( surah Al-Baiyinah, ayat 5).

Mudah-mudahan kita selalu dikurniakan oleh Allah dengan melaksanakan amal-ibadah apa saja dengan keikhlasan yang betul-betul menurut perintah Allah. Amin!

No comments:

Post a Comment